Konsep Islam Hadhari

Pengenalan

Islam Hadhari memberi tekanan kepada aspek pembangunan yang menjurus kepada pembinaan peradaban iaitu peradaban yang dicanai dengan pegangan Islam dan memberi fokus kepada usaha mempertingkatkan mutu kehidupan melalui penguasaan ilmu, pembangunan insan, pembangunan kesihatan serta pembangunan fizikal.

Mempertingkatkan mutu kehidupan adalah dengan mengamalkan sistem ekonomi, sistem perdagangan dan sistem kewangan yang dinamik, pembangunan sepadu dan seimbang bagi melahirkan umat yang berilmu dan beriman, bertamadun tinggi, berakhlak mulia, jujur lagi amanah, serta bersedia menangani cabaran semasa dunia global.

Islam Hadhari bukanlah agama baru. Islam Hadhari bukan ajaran baru. Islam Hadhari bukannya mazhab baru. Islam Hadhari adalah usaha untuk mengembalikan umat Islam kepada asas atau fundamental yang terkandung dalam Al Quran dan Hadis yang merupakan teras pembinaan tamadun Islam. Islam Hadhari jika ditafsir secara ikhlas dan difahami secara jelas, sama sekali tidak akan memesongkan mana-mana umat Islam dari asas akidah.

Sebagai sebuah Kerajaan yang bertanggungjawab melindungi kesucian Islam dan memastikan umat Islam tanpa tergelincir akidah akan dapat menghadapi cabaran dan realiti semasa, pintu ijtihad perlu terbuka supaya tafsiran yang diwarisi dapat dikaitkan dengan bentuk dan corak pembangunan mengikut masa dan mengikut tempat. Adalah perlu diteliti semula pelbagai pendekatan dan kaedah untuk diperkemaskan supaya lebih seimbang dan menyeluruh, merangkumi pembangunan prasarana dan pembangunan ekonomi, diperkukuhkan dengan pembangunan manusia melalui program pendidikan yang komprehensif, diperlengkap pula dengan program pembangunan rohani untuk menyemaikan nilai-nilai murni dan menerapkan nilai-nilai Islam dalam kehidupan.


Prinsip Islam Hadhari

Islam Hadhari akan memastikan pencapaian sepuluh prinsip utama:

I. Keimanan dan ketakwaan kepada ILAHI
II. Kerajaan adil dan beramanah
III. Rakyat berjiwa merdeka
IV. Penguasaan ilmu pengetahuan
V. Pembangunan ekonomi seimbang dan komprehensif
VI. Kehidupan berkualiti
VII. Pembelaan hak kumpulan minoriti dan wanita
VIII. Keutuhan budaya dan moral
IX. Pemeliharaan alam semula jadi
X. Kekuatan pertahanan

Prinsip-prinsip ini adalah menurut acuan yang diadunkan supaya amalan dan pendekatannya tidak akan menimbulkan salah faham dan kebimbangan kepada mana-mana pihak dalam sebuah negara yang komposisi rakyatnya berbilang agama dan berbilang kaum. Pendekatan yang digariskan juga adalah untuk memperkasakan umat Islam supaya berupaya menghadapi cabaran dunia semasa.

Islam Hadhari adalah Islam yang syumul atau komprehensif dengan penekanan kepada pembangunan ekonomi dan tamadun yang menyeluruh – berupaya menjadi penggerak dan pendorong kepada peningkatan daya saing umat. Warisan dan tamadun Islam yang memperlihatkan kejayaan cemerlang umat Islam dalam semua bidang perlu dijadikan rujukan dan sumber inspirasi memajukan masyarakat Malaysia.

Perubahan minda umat memerlukan satu tindakan secara menyeluruh, secara drastik, secara sistematik, dan tidak bersifat sektor atau partisan. Ini memerlukan satu perubahan tasawur (pandangan global) seluruh masyarakat. Selaras dengan itu, konsep hidup sebagai pengabdian kepada Tuhan dan konsep kerja sebagai ibadah, manusia sebagai khalifah dan kewajipan mencapai kekuatan dalam semua bidang kehidupan perlu dititikberatkan, khususnya prinsip maqasid al Syariah adalah berkaitan dengan lima perkara seperti berikut:

I. Menjaga, memartabatkan dan memperkasakan agama
II. Menjaga, memartabatkan dan memperkasakan akal
III. Menjaga, memartabatkan dan memperkasakan nyawa
IV. Menjaga, memartabatkan dan memperkasakan harta
V. Menjaga, memartabatkan dan memperkasakan keturunan

Usaha yang konsisten hingga menghasilkan kejayaan yang berterusan perlu dirancang. Segala bentuk pemikiran yang mengelirukan dan tidak bersesuaian dengan kefahaman Islam perlu dikikis supaya pemikiran dan jati diri umat dapat dibentuk. Perubahan sikap dan budaya umat memerlukan peranan berijtihad dan berjihad. Konsep jihad perlu ditafsirkan secara lebih luas, meliputi aspek kehidupan manusia seperti menuntut ilmu, menguasai sains dan teknologi serta melaksanakan aktiviti-aktiviti ekonomi. Peningkatan kualiti (itqan) dalam semua urusan dan kegiatan kehidupan merangkumi bidang pendidikan, penguasaan sains dan teknologi serta aktiviti-aktiviti ekonomi, hendaklah dijadikan budaya. Ijtihad membina ummah dalam zaman moden ini perlu diberikan perhatian dan diberikan pengiktirafan.

Masyarakat Malaysia perlu diberikan kefahaman Islam yang membolehkan umat menghayati dan mewarisi wawasan ketamadunan global (Rahmatan Lil’alamin) untuk membolehkan umat berperanan secara berkesan diperingkat global. Semangat persaudaraan (ukhuwah Islamiah) perlu dipupuk dan disemarakkan bagi menghasilkan rangkaian sosial yang mantap sebagai satu strategi ke arah meningkatkan daya saing umat. Masyarakat Malaysia perlu menghargai dan menghayati sifat berdikari dan mengurangkan kebergantungan kepada pihak lain. Sikap dan nilai-nilai negatif masyarakat perlu diubah kepada nilai-nilai yang terkandung di dalam tasawwur Islam.

Umat perlu dijadikan masyarakat iqra dalam hasrat mahu membina kemampuan bangsa dari segi peningkatan penguasaan ilmu, kemahiran dan kepakaran. Tuntutan Islam mewajibkan umat menguasai ilmu dalam semua bidang perlu dihayati. Perlu diperbetulkan sebarang salah faham terhadap konsep ilmu agar tidak berlaku pemisahan antara ilmu sekular dengan ilmu agama. Bahawa penguasaan sains dan teknologi serta peningkatan kemahiran dan kepakaran merupakan sebahagian dari tuntutan Islam. Begitu banyak ayat-ayat di dalam al-Quran yang menyentuh soal penguasaan sains dan teknologi, yang perlu diberikan perhatian oleh umat. Sumbangan tamadun Islam dalam sains dan teknologi yang membawa kepada kelahiran renaissance di Eropah wajib diketahui oleh semua pelajar Islam. Usaha melahirkan saintis Islam yang dapat menghasilkan penemuan-penemuan baru perlu diperbanyakkan.

Dunia adalah satu perjalanan yang harus dimanfaatkan dalam proses pengabdian manusia kepada Allah SWT dengan menyempurnakan tanggungjawab fardu kifayah secara sempurna, jujur, telus dan amanah. Manusia tidak mungkin berjaya memanfaatkan dunia ini dengan baik jika sikap dan pandangannya terhadap dunia tidak tepat sebagaimana mestinya, kerana alam dan fenomenanya diciptakan dan ditundukkan oleh Allah SWT untuk manusia diturunkan sebagai khalifah. Kerana itu, amatlah penting untuk umat manusia itu diperlengkap dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran, supaya membolehkan manusia menguasai dunia.

Amatlah penting umat Islam dipimpin memahami dan menghayati Islam sebagai sistem kehidupan menyeluruh untuk menggerakkan pembinaan satu tamadun. Kehidupan menyeluruh yang bijak mengimbangkan tanggungjawab dunia dengan tanggungjawab akhirat. Islam bukanlah satu ritual kerana ritualisme memberi tumpuan kepada akhirat semata-mata. Kerajaan juga tidak pernah bersifat sekularisme yang menolak akhirat dan memberi tumpuan kepada dunia semata-mata. Islam mestilah dihayati sebagai sistem yang mengintegrasikan kehidupan duniawi dan persiapan ukhrawi. Allah SWT berfirman:




Yang bermaksud: "Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatNya yang melimpah-limpah) dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan".

(Surah al-Qasas: Ayat 77)

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

7 elemen muzik

LATITUD DAN LONGITUD

LAGU FLY KENYALANG FLY, FLY HIGH