PENGENALAN PENGAJIAN SOSIAL (NOTA 1)

Pengajian Kajian Sosial merupakan salah satu daripada bidang pengajian yang terdapat dalam sukatan mata pelajaran di sekolah rendah.Bidang pengajian ini memainkan peranan dalam membentuk sahsiah dan keperibadian mulia para pelajar di mana bidang ini banyak menekankan aspek-aspek tingkah laku manusia dan aspek-aspek yang berkaitan dengan kehidupan manusia dalam sesuatu kelompok masyarakat.Bidang ini adalah salah satu daripada bidang pengetahuan yang penting pada masa sekarang.

Selain itu, Pengajian Kajian Sosial juga menyatukan sains sosial dan kemanusian sebagai bidang pengajaran dalam pembentukkan sivik.Bahkan melalui bidang pengajian ini, ianya dapat membantu anak-anak muda dalam menggunakan kebolehan yang ada untuk membuat sesuatu keputusan dengan rasionalnya agar keputusan yang di buat dan di ambil itu tidak mendatangkan sebarang kesan buruk pada diri mereka.

Secara asasnya, bidang Pengajian Kajian sosial ini banyak mendedahkan kepada para pelajar betapa pentingnya bidang ini pada kehidupan mereka seharian.Ianya membantu dalam mempertingkatkan kemahiran, ilmu pengetahuan dan nilai-nalai murni pada diri seseorang individu.Bahkan bidang Pengajian Kajian Sosial ini menerapkan konsep integrasi dalam kurikulum dan pengajaran ke arah pembangunan individu insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani justeru ianya membawa kepada penguasaan ilmu pengetahuan, kemahiran, bahasa dan pemupukan nilai-nailai murni yang dilakukan secara bersepadu dan menyeluruh.

Antara matlamat penting yang ditekankan dalam Bidang Pengajian Kajian Sosial ini adalah menerap dan memupuk sivik melaui pengetahuan, kemahiran dan sikap yang harus terdapat pada seseorang pelajar selaras dengan negara kita yang berdemokratik.Jelaslah bahawa nilai amalan sivik perlu diserapkan bagi melahirkan seseorang individu yang berpengetahuan, berkemahiran serta mempunyai nilai-nilai murni yang mampu membimbing ke arah kecemerlangan diri.Matlamat seterusnya adalah menyatakan tiga elemen utama dalam bidang pengajian ini iaitu antara pengetahuan, kemahiran dan sikap.

Oleh kerana pengetahuan sains sosial mempunyai maksud yang terlalu luas, ia terpaksa dibahagikan kepada beberapa bidang yang berlainan dengan memberikan pengkhususan yang tertentu iaitu sains politik, ekonomi, sejarah, geografi, komunikasi, sosiologi, psikologi, antropologi, agama dan undang – undang. Sosiologi merupakan kajian berkenaan dengan interaksi dan perhubungan manusia dan organisasi sosialnya. Ia menumpukan perhatian kepada kehidupan sosial, sebab – sebab sosial sesuatu perkara itu berlaku dan kesan – kesan daripada kelakuan tingkahlaku manusia. Daripada kajian – kajian tersebut, ramalan boleh dibuat atas tingkah laku manusia dalam beberapa situasi sosial.

Psikologi bermaksud mengkaji minda dan personaliti seseorang individu. Ia juga mengkaji tingkah laku seseorang dan bagaimana tingkah laku ini dipengaruhi oleh tingkah laku orang lain. Ia juga dibahagikan kepada beberapa bidang yang khusus seperti psikologi sosial, kaunseling, psikologi industri dan organisasi psikologi kanak – kanak. Antara contoh kajiannya ialah terhadap emosi, ingatan, persepsi, perkembangan dan kematangan seseorang dan motivasi kerja yang telah dilakukan kepada seseorang individu.

Antropologi ialah kajian berkenaan dengan perhubungan di antara ciri – ciri biologi dan ciri – ciri sosial yang diperoleh oleh manusia. Ia boleh dibahagikan kepada antropologi fizikal dan budaya. Antropologi fizikal mengkaji pengaruh evolusi alam sekitar terhadap ciri – ciri fizikal manusia. Manakala antropologi budaya pula mengkaji cara – cara masyarakat dan kebudayaannya berkembang.

Sains politik merujuk kepada sistem kerajaan, polisi dan ideologi yang diamalkan untuk mewujudkan keamanan dan kestabilan dalam masyarakat. Ia juga mengkaji pengaruh dan kepentingan politik di dalam kehidupan dan kegiatan masyarakat umum. Antara bidangnya ialah seperti organisasi kerajaan dan sistem politik, politik antarabangsa, dasar awam, hubungan antarabangsa dan falsafah dan teori politik.

Ekonomi merujuk kepada penggunaan dan pengagihan sumber – sumber dalam masyarakat dan dunia. Ia juga merujuk kepada pengeluaran barang – barang untuk memenuhi kehendak dan permintaan masyarakat. Di antara bidang dalam ekonomi ialah ekonomi gunaan, ekonomi buruh, ekonomi kewangan, institusi dan kewangan antarabangsa, pembiayaan antarabangsa dan ekonomi pengurusan.

Sejarah menumpukan perhatian kepada peristiwa lampau yang telah berlaku. Ia cuba memeriksa sama ada benar dan tidaknya sesuatu peristiwa – peristiwa lampau yang dikatakan telah berlaku dan mengaitkannya dengan masa kini supaya dapat memberi satu gambaran yang jelas berkenaan dengan perkembangan sesuatu masyarakat dan tempat dari masa lampau sehingga kini.

Geografi, Manusia sentiasa dipengaruhi oleh alam semulajadi tempat tinggalnya. Geografi bertujuan mengkaji aspek – aspek alam semulajadi dan bagaimana kehidupan manusia dibentuk olehnya. Ia juga mengkaji bagaimana alam semulajadi mempengaruhi perkembangan sosial dan kebudayaan masyarakat. Sebagai contoh tumpuannya ialah terhadap iklim, ekologi, demografi dan corak – corak migrafi penduduk.

Komunikasi ialah proses di mana mesej dihantar dari sesuatu punca kepada penerima. Ia merujuk kepada bagaimana sesuatu idea, maklumat, berita, nilai, sikap dan sebagainya disalur dan dikongsi dengan orang lain. Komunikasi telah dibahagikan kepada beberapa bidang seperti komunikasi organisasi, komunikasi antarabangsa, perfileman, pengiklanan, telekomunikasi dan kewartawanan.

Agama merujuk kepada sistem kepercayaan yang diamalkan oleh sesuatu kaum atau masyarakat. Ia juga adalah satu perhubungan di antara manusia dan kuasa yang tertinggi yang menjadi kepercayaan oleh sesuatu masyarakat tersebut. Perhubungan ini dapat dijalin melalui ajaran – ajaran yang dipercayainya dan upacara yang dilakukannya. Terdapat beberapa agama utama dalam dunia ini antaranya ialah Islam, Hindu, Buddha, Kristian, Animese dan lain – lain kepercayaan lagi

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

7 elemen muzik

LATITUD DAN LONGITUD

LAGU FLY KENYALANG FLY, FLY HIGH