Sukatan Matapelajaran Geografi

MATLAMAT

Kurikulum Geografi membolehkan murid memahami fenomena geografi
berfokus kepada negara Malaysia dan hubungannya dengan negara-negara
lain supaya dapat melahirkan murid yang berilmu, bertanggungjawab,
bersyukur dan mengenali serta mencintai negara Malaysia.

OBJEKTIF

Kurikulum Geografi Sekolah Menengah membolehkan murid:

1. Munghubungkaitkan aspek kedudukan, arah, skala dan jarak dalam organisasi ruangan.
2. Mengumpul, menyusun, menganalisis dan menyampaikan data geografi berbentuk kuantitatif dan kualitatif.
3. Memberi pendapat secara kreatif dan kritis, mengenal pasti dan mengkaji masalah semasa daripada aspek geografi serta membuat keputusan dengan bertanggungjawab.
4. Menjelaskan fenomena alam dan saling kaitannya dengan manusia berasaskan taburan dan pola-pola yang wujud di negara Malaysia dan negara-negara lain.
5. Mengenal pasti cara hidup dan budaya pelbagai komuniti di negara lain serta menghargai ciri-ciri persamaan dan kelainannya.
6. Memerihalkan keadaan saling memerlukan dalam sistem alam, kegiatan ekonomi, sosial dan politik antara satu negara dengan negara lain.
7. Menerangkan kesan kegiatan manusia ke atas alam sekitar serta pentingnya menguruskan alam dan sumber dengan bertanggungjawab dan bijaksana.
8. 3 sukatan pelajaran geografi kbsm mengenali, menghargai dan berbangga terhadap ciri-ciri geografi negara Malaysia yang istimewa dan unik.
9. Menggabungjalin pelbagai fakta geografi dan dapat membuat kesimpulan yang rasional.
10. Mensyukuri dan mencintai alam, bersederhana dan bertanggungjawab ke atas sebarang tindakan dan peka terhadap perasaan serta keperluan orang lain.


ORGANISASI KURIKULUM

Sukatan Pelajaran Geografi digubal berasaskan tiga kompenan berikut:

1. Pemahaman Geografi

1.1 Bumi sebagai ruangan kediaman dan kegiatan manusia.
1.2 Kaitan dan interaksi manusia dengan alam sekitar menghasilkan pelbagai organisasi ruangan yang boleh dikaji berasaskan proses, taburan dan pola. Penegasan diberi kepada beberapa konsep asas organisasi ruangan seperti kedudukan, arah, skala, jarak, lingkungan pengaruh, pergerakan dan perubahan.
1.3 Proses interaksi antara manusia dengan alam sekitar melalui kegiatan ekonomi, sosial dan politik menimbulkan isu-isu ruangan. Keperluan bekerjasama antara manusia diberi penekanan bagi menghadapi cabaran tersebut.
1.4 Manusia sentiasa berusaha meneroka kawasan baru untuk kesejahteraan hidup.


2. Perkembangan Kemahiran

Pemahaman idea dan konsep utama tentang alam sekitar dilakukan melalui pelbagai aktiviti termasuk kerja amali. Proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) yang mementingkan perkembangan kemahiran geografi dan aplikasinya seperti kemahiran mencerap, merekod, menyusun, menganalisis, mentafsir, menilai, meramal dan menyampaikan maklumat diberi penekanan.

Kandungan mata pelajaran Geografi disusun mengikut tema dengan memberi perhatian kepada kesinambungan antara Geografi Fizikal dan Geografi Manusia serta saling kaitannya. Sebanyak lapan tema telah dipilih dan setiap tema menggambarkan proses interaksi di antara manusia dengan alam sekitarnya. Semua tema akan dipelajari pada peringkat Sekolah Menengah Rendah (SMR) dan Sekolah Menengah Atas (SMA).

Kajian dibuat berasaskan kawasan mengikut skala bermula dari kawasan setempat, negara, benua dan seterusnya dunia untuk menunjukkan perkembangan konsep pola, taburan dan proses. Kajian juga menegaskan ciri-ciri persamaan dan kelainan di antara negara Malaysia dengan kawasan yang dikaji.

Pada keseluruhannya, sukatan pelajaran ini menekankan pendekatan bercorak fungsional untuk menggalakkan perkembangan kemahiran geografi. Pengajaran dan pembelajaran Kemahiran Geografi diberi penekanan pada setiap peringkat dan kemahiran-kemahiran tersebut diaplikasikan dalam semua bidang kajian geografi. Pengalaman pembelajaran mestilah berupaya untuk menghubungkaitkan aspek kedudukan, arah, skala, jarak, taburan, fungsi, pola dan perubahannya dalam organisasi ruangan. Ini dilaksanakan melalui kajian
persekitaran murid. Untuk meluaskan orientasi pandangan murid, pelbagai cara hidup di beberapa kawasan tertentu di dunia juga dikaji.

3. Unsur-unsur Patriotisme dan Pemupukan Nilai

Unsur-unsur patriotisme diberi penekanan dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Pemupukan nilai-nilai murni berlandaskan hakikat bahawa manusia diamanahkan untuk mengurus alam dan sumber dengan bertanggungjawab dan bijaksana. Semangat patriotik dipupuk berasaskan pemahaman bahawa kita perlu : · Mencintai negara Malaysia

* Bersatu dalam kepelbagaiaan
* Berusaha membangunkan negara Malaysia dan
* Mempertahankan negara Malaysia


KANDUNGAN

Kandungan kurikulum Geografi digubal berasaskan tiga bahagian iaitu :

Bahagian A - Kemahiran Geografi
Bahagian B - Geografi Fizikal dan Manusia
Bahagian C - Kajian Geografi Tempatan

Bahagian A - Kemahiran Geografi

Bahagian ini menekankan aspek Kemahiran Geografi dan dipelajari setiap tahun. Tajuk-tajuk yang dikaji adalah:

1. Kedudukan
2. Arah
3. Skala dan jarak
4. Graf, carta, rajah dan foto
5. Peta
6. Ketinggian
7. Keratan rentas
8. Pentafsiran peta topografi

Tajuk-tajuk di atas diolah bersesuaian dengan peringkat pembelajaran mengikut tingkatan. Pengajaran dan pembelajaran Kemahiran Geografi diaplikasikan dalam semua bahagian kajian geografi.


Bahagian B - Geografi Fizikal dan Manusia

Bahagian ini meliputi Geografi Fizikal dan Geografi Manusia berlandaskan lapan tema utama. Kajian Geografi Fizikal memberi tumpuan kepada proses fizikal yang berlaku dan bentuk muka bumi yang dihasilkan serta hubung kaitnya dengan kegiatan manusia. Kajian Geografi Manusia memberi tumpuan kepada interaksi antara manusia dengan manusia dan antara manusia dengan alam sekitar.

Penekanan diberi kepada taburan dan pola yang wujud akibat perubahan pandang darat fizikal dan budaya dalam usaha manusia untuk kesejahteraan hidup. Kajian berfokus kepada negara Malaysia dengan membuat perbandingan dengan negara-negara lain daripada aspek persamaan dan kelainannya. Setiap tema mengandungi tajuk-tajuk tertentu:

1. Bentuk muka bumi dan potensinya

1.1 Bentuk muka bumi
1.2 Potensi dan halangan bentuk muka bumi kepada kegiatan manusia
1.3 Kesan kegiatan manusia terhadap alam sekitar
1.4 Sistem bumi
1.5 Proses pembentukan bentuk muka bumi
1.6 Perubahan pandang darat fizikal
1.7 Laut dan lautan

2. Cuaca dan iklim serta pengaruhnya

2.1 Pergerakan bumi di dalam sistem suria
2.2 Unsur-unsur cuaca dan iklim
2.3 Pengaruh cuaca dan iklim terhadap kegiatan manusia dan sebaliknya

3. Tumbuh-tumbuhan semula jadi dan hidupan liar

3.1 Jenis dan taburan tumbuh-tumbuhan semula jadi dan hidupan liar
3.2 Faktor-faktor yang mempengaruhi pelbagai tumbuhtumbuhan semula jadi
3.3 Kepentingan tumbuh-tumbuhan semula jadi
3.4 Kesan kegiatan manusia terhadap tumbuh-tumbuhan semula jadi dan hidupan liar
3.5 Pemeliharaan dan pemuliharaan tumbuh-tumbuhan semula jadi dan hidupan liar

4. Dinamik penduduk

4.1 Taburan penduduk
4.2 Pergerakan penduduk sebagai tindak balas terhadap faktor ekonomi, politik, sosial dan fizikal
4.3 Perubahan penduduk dan implikasinya terhadap keperluan kependudukan
4.4 Kesan perubahan penduduk terhadap alam sekitar

5. Petempatan dan perkembangannya

5.1 Kedudukan petempatan awal
5.2 Faktor yang mempengaruhi petempatan
5.3 Pola-pola petempatan
5.4 Fungsi petempatan
5.5 Pembandaran

6. Pengangkutan dan perhubungan

6.1 Keperluan pengangkutan dan perhubungan awal
6.2 Perkembangan jaringan pengangkutan dan perhubungan
6.3 Faktor yang mempengaruhi jaringan pengangkutan dan perhubungan
6.4 Kepentingan jaringan pengangkutan dan perhubungan
6.5 Kesan perkembangan pengangkutan dan perhubungan terhadap alam sekitar

7. Sumber

7.1 Sumber-sumber utama
7.2 Taburan pelbagai sumber
7.3 Kepentingan pelbagai sumber
7.4 Kesan penerokaan sumber terhadap alam sekitar
7.5 Pengurusan sumber

8. Kegiatan Ekonomi

8.1 Kegiatan ekonomi utama
8.2 Faktor yang mempengaruhi kegiatan ekonomi
8.3 Sumbangan kegiatan ekonomi terhadap pembangunan negara
8.4 Kepentingan kerjasama ekonomi antarabangsa
8.5 Kesan kegiatan ekonomi alam sekitar
8.6 Langkah-langkah mengurangkan kesan kegiatan ekonomi terhadap alam sekitar

Fokus kajian bagi Tingkatan 1 ialah Tema 1 – 3, Tingkatan 2 ialah Tema 4 – 6 dan Tingkatan 3 ialah Tema 7– 8 . Bagi peringkat SMA (Tingkatan 4 dan 5), kajian merangkumi lapan tema yang telah dipelajari diperingkat SMR secara lebih mendalam lagi.

Bahagian C – Kajian Geografi Tempatan

Bahagian ini memerlukan murid menjalankan kajian di kawasan yang dipilih. Kajian berfokus kepada ciri-ciri geografi di kawasan kajian selaras dengan tema yang dipelajari mengikut peringkat pembelajaran atau isu-isu geografi semasa. Kajian juga bertujuan meluaskan persepsi murid terhadap keadaan persekitaran dan penguasaan Kemahiran Geografi. Murid dapat mengaplikasi pengetahuan geografi dalam kajian yang dijalankan. Kajian Geografi Tempatan dijalankan oleh semua murid di Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5.

Dalam merancang dan melaksanakan kurikulum ini, tumpuan perlu diberi kepada pengembangan dan penguasaan kemahiran berfikir dan kemahiran belajar bagi membolehkan murid membuat keputusan dan menyelesaikan masalah secara rasional dalam menghadapi cabaran hidup yang semakin kompleks.

Kepelbagaian kecerdasan murid perlu diambil kira bagi memperkukuh dan memperkaya pengalaman pembelajaran mereka dalam usaha membentuk manusia yang peka kepada isu atau permasalahan yang berlaku dan mampu membuat ramalan, menjangka akibat serta mengendalikannya ke arah keharmonian dan kecemerlangan hidup. Disamping itu, kemahiran menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi perlu dikuasai oleh murid supaya mereka menjadi generasi yang celik teknologi serta dapat memanfaatkannya dengan penuh tanggungjawab demi kesejahteraan hidup bersama.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

7 elemen muzik

LATITUD DAN LONGITUD

LAGU FLY KENYALANG FLY, FLY HIGH