Membina momentum menjelang Ramadan

Pandangan IKIM

BULAN yang ditunggu-tunggu oleh umat Islam bakal tiba tidak lama lagi. Dalam keghairahan kita untuk menyambutnya, harus diingati persiapan yang perlu dilengkapi agar Ramadan kali ini tidak menyebabkan kita tersungkur sebelum penghujungnya.

Bukan setakat persediaan dari aspek mental dan spiritual, malah aspek fizikal perlu diambil kira dan disenaraikan keutamaannya. Selain mengejar pahala di bulan barakah, kita juga menyasarkan kesihatan tubuh badan yang unggul agar ia mampu menjadi wahana menggapai ketaqwaan kepada Allah SWT.

Sebelum Ramadan, momentum kesihatan perlu dibina. Latihan puasa perlu dicetuskan. Ini untuk memastikan agar fisiologi tubuh badan dapat disesuaikan dengan situasi berpuasa. Berpuasa sunat sebelum Ramadan dapat melatih perut supaya tidak terlalu ‘terkejut’ dengan puasa sebulan dalam Ramadan.

Inilah antara hikmah puasa sunat Rejab dan Sya‘ban yang digalakkan dalam Islam seperti mana diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim: “Adalah Rasulullah SAW kadang-kadang terus-menerus berpuasa hingga kami menganggap beliau tidak berbuka langsung, dan kadang-kadang beliau terus-menerus berbuka hingga kami menganggap beliau tidak berpuasa langsung.

Namun demikian, aku tidak pernah melihat Rasulullah berpuasa sebulan penuh melainkan pada bulan Ramadan, dan aku tidak pernah melihat beliau paling banyak berpuasa sebagaimana beliau berpuasa di bulan Sya‘ban”.

Amalan yang dipraktikkan oleh Rasulullah SAW menunjukkan bahawa keutamaan berpuasa sunat itu digalakkan menjelang Ramadan terutamanya pada bulan Sya‘ban sebagai latihan sebelum memasuki madrasah Ramadan di mana kita akan berpuasa selama sebulan tanpa boleh diselang seli.

Oleh itu, tubuh kita memerlukan kekuatan dan kecergasan agar mampu meneruskannya tanpa kecundang di pertengahannya. Apabila kita sudah bersedia dengan momentum yang cukup, barulah dapat mengharungi Ramadan dengan cergas dan sihat. Kerap kali kita mendengar keluhan kelesuan, ketidakselesaan perut dan gastrik semasa di pertengahan puasa akibat tidak mempunyai perancangan dalam amalan pemakanan dan menu yang diaturkan.

Berpuasa merupakan salah satu cara untuk merehatkan sistem pencernaan yang bekerja hampir 24 jam sehari tanpa henti sekali gus ia akan meningkatkan kecekapan sistem tersebut dan meningkatkan kadar pembebasan tenaga selepas berakhirnya amalan berpuasa. Ini menjadikan seseorang lebih sihat dan bertenaga.

Otak akan memberikan isyarat bahawa tubuh badan tidak akan menerima makanan ketika berpuasa dalam tempoh yang panjang. Oleh itu, tubuh kita cuba menyesuaikan diri dalam keadaan lapar supaya dapat menyimpan tenaga dan metabolisma badan berlaku secara perlahan seiring dengan jumlah kalori yang diperolehi.

Tubuh memerlukan masa untuk menyesuaikan keadaan tersebut, maka dengan berpuasa sunat sebelum Ramadan memberikan satu peluang untuk melatih badan menghadapi kelaziman tersebut.

Ketika sihat, tubuh kita lebih mudah untuk menghadam dan menyerap zat sesuatu makanan. Namun, sebaliknya berlaku apabila kita berada dalam lingkungan tidak sihat. Zat makanan tidak diserap secara efisien malah toksin juga sukar untuk disingkirkan daripada badan.

Oleh itu, selama sebulan dalam bulan Ramadan, kita perlu memastikan agar tubuh kita berada dalam keadaan memuaskan dan mampu menjalani ibadah puasa dengan baik.

Maka, pola pemakanan rutin yang kita lalui kini iaitu sebelum Ramadan perlu diberikan alternatif agar ia menjadi lebih seimbang dan kesihatan berada pada tahap yang optimum. Ini adalah untuk memastikan agar kita dapat mengatasi sebarang masalah atau perubahan badan yang berlaku semasa kita berpuasa kelak.

Di samping itu, perlu untuk kita menilai tahap kesihatan sebelum Ramadan. Jika menghidapi sebarang penyakit dan bergantung kepada ubat-ubatan, perlulah mendapat nasihat doktor tentang pengubahsuaian waktu pengambilan ubat agar tidak mengganggu puasa dan tahap kesihatan.

Dalam persediaan menghadapi Ramadan, perlu dibulatkan bahawa corak pemakanan adalah sama sahaja seperti sebelum Ramadan.

Malah perlu dilatih agar perut kita mampu menerima makanan dalam kuantiti kecil. Walaupun jumlah hidangan berkurang daripada 3 kali menjadi 2 kali sehari iaitu berbuka puasa dan bersahur, ia tidak mendatangkan permasalahan kepada kesihatan selagi mana kita mengawal corak pemakanan. Di samping itu, kita perlu mengamalkan diet yang mempunyai karbohidrat kompleks agar dapat memberi ketahanan kepada tubuh badan sepanjang berpuasa.

Kita perlu mengurangkan atau mengelakkan makanan dan minuman manis, makanan yang mengandungi pengawet, gula tiruan, makanan ringan dan makanan bergoreng. Jika kita boleh kurangkan pengambilan makanan tersebut pada masa kini, barangkali ia juga boleh menjadi latihan untuk pilihan menu yang bijak semasa berpuasa.

Apa yang penting, kita menjalani ibadah puasa dengan memiliki risiko kesihatan yang rendah dan bertenaga apabila mengamalkan diet seimbang dan sempurna.

Tabiat yang tidak sihat seperti merokok juga perlu dikurangkan sedikit demi sedikit sebagai satu latihan untuk kita menempuh bulan Ramadan dan akhirnya ia menjadi satu medan berhenti merokok bagi perokok yang tegar. Tidak mustahil berlaku jika golongan tersebut mahu memulakannya dari sekarang.

Amalan pemakanan dan apa yang kita makan akan mencerminkan diri kita yang sebenar. Justeru, mengamalkan kesederhanaan dalam pemakanan dan meniru diet Rasulullah SAW akan memberikan impak besar kepada kesihatan.

Perubahan yang berdikit-dikit sebelum menghadapi Ramadan mampu menjadikan kita lebih sihat dan bertenaga. Akhirnya dengan puasa, kita mampu meraih maghfirah dan ketaqwaan.

Buatlah persediaan untuk menjalani ibadah puasa ini dengan sebaik-baiknya. Semoga Ramadan kali ini mampu menjadikan kita Muslim yang lebih baik berbanding dengan tahun sebelum ini.

PENULIS ialah Pegawai Penyelidik

di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKM).

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

7 elemen muzik

LATITUD DAN LONGITUD

LAGU FLY KENYALANG FLY, FLY HIGH