Kuching bakal jadi pusat penyelidikan manik


KUCHING 17 Ogos - Kerajaan negeri bercadang membangunkan sebuah pusat penyelidikan manik Borneo di bandar raya ini bagi merancakkan lagi industri tersebut pada masa depan.

Menteri Pelancongan dan Warisan, Datuk Seri Abang Johari Tun Openg berkata, rancangan itu merupakan sebahagian daripada pelan 10 tahun yang digariskan oleh pihaknya sebagai usaha memperkenalkan manik Borneo ke pasaran antarabangsa.

"Kita mahu melihat bandar raya Kuching terkenal sebagai pusat penyelidikan manik di rantau ini seperti mana kota Venice, Itali yang popular dengan barangan atau perhiasan diperbuat daripada gelas.

"Oleh itu, pihak kementerian telah menggariskan rancangan jangka masa panjang untuk membangunkan hab atau pusat penyelidikan manik Borneo di sini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar mengenai Persidangan Manik Antarabangsa Borneo (BIBCo) 2011 yang bakal dianjurkan oleh Crafthub Sdn. Bhd. di sini, hari ini.

Mengenai persidangan tersebut yang dijadual berlangsung dua hari bermula 7 Oktober depan, Abang Johari berkata, ia bertujuan mempromosi dan memasarkan produk kraftangan di negeri ini ke peringkat antarabangsa.

Katanya, BIBCo merupakan landasan terbaik untuk menaik taraf seni kraf tangan masyarakat pribumi Sarawak, sekali gus menyumbang kepada peningkatan pendapatan mereka.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Crafthub Sdn. Bhd., Heidi Munan memberitahu, kira-kira 200 peserta termasuk pakar dalam bidang manik dari tujuh negara termasuk Afrika Selatan, Australia, Kanada dan India bakal menghadiri persidangan itu.

"Sebanyak 13 kertas kerja mengenai sejarah penemuan awal dan susur galur manik, kegunaan manik, potensi dan perkembangan teknologi dalam pembuatan manik akan dibentangkan sepanjang program tersebut," katanya.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

7 elemen muzik

LATITUD DAN LONGITUD

LAGU FLY KENYALANG FLY, FLY HIGH