Konsep-konsep Asas Penilaian dan Pengukuran dalam Pengajaran dan Pembelajaran Pengajian Sosial


Nota PSS3110

Pengujian, pengukuran, penilaian dan pentaksiran  adalah konsep-konsep asas yang penting dalam bidang pendidikan dan mempunyai maksud dan melibatkan proses yang berlainan. Popham (2000) menyatakan istilah pengukuran, pengujian dan pentaksiran digunakan secara silih bertukar dan dianggap sinonim.  


Selepas anda membaca nota ini akan dapat menghuraikan konsep pengujian, pengukuran, penilaian dan pentaksiran dalam Pengajian Sosial.

Nota ini menerangkan konsep dan tujuan pengujian, pengukuran, penilaian dan pentaksiran. Nota ini juga akan menerangkan kepentingan pentaksiran dalam pembelajaran Pengajian Sosial. Seterusnya menyenaraikan perbezaan antara pengujian, pengukuran dan penilaian.

 
1.0    Pengujian

Pengujian merupakan proses penyerahan set soalan yang piawai yang perlu dijawab, atau satu set instrumen atau prosedur yang bersistem bagi mengukur sampel tingkah laku atau perubahan seseorang individu atau murid (Azizi, 2008). Manakala menurut Siti Rahayah (2003) pengujian adalah proses pengukuran pencapaian penguasaan pelajar dalam suatu disiplin di dalam kelas dengan menggunakan ujian.

Menurut Bhasah (2009) ujian adalah satu konsep yang kerap digunakan oleh guru pada setiap bulan. Guru dikehendaki menyediakan ujian bulanan, ujian pertengahan semester juga ujian percubaan UPSR (Ujian Penilaian Sekolah Rendah), PMR (Penilaian Menengah Rendah), SPM (Sijil Pelajaran Malaysia), STPM (Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia) dan STAM (Sijil Tinggi Agama Malaysia).

Manakala menurut Cronbach (1970), ujian ialah satu prosedur yang bersistem untuk memerhatikan perlakuan atau tingkah laku seseorang individu dan membuat huraian dengan bantuan skala bernombor atau satu sistem yang berkategori. Contoh skala bernombor   dalam mengukur pencapaian murid bagi sesuatu mata pelajaran seperti dalam ujian KajianTempatan murid mendapat markah 90/100. Contoh sistem berkategori seperti ekstrovert atau introvert bagi ujian personaliti dan buta warna hijau-merah bagi ujian penglihatan  (Mokhtar, 2009).

1.1    Tujuan pengujian:

a)    Menentukan perubahan tingkah laku pelajar.
b)    Menentukan pencapaian pelajar dalam pembelajaran.
c)    Mengesan kesulitan-kesulitan yang dihadapi oleh pelajar.
d)    Maklum balas kepada guru dari segi kekuatan dan kelemahan pengajarannya.
e)    Maklum balas kepada pelajar dari segi kekuatan dan kelemahan pembelajarannya.

1.2    Pelaksanaan pengujian:

Pelaksanaan ujian terbahagi kepada dua iaitu ujian berbahasa dan ujian bukan berbahasa.
Contoh ujian berbahasa adalah ujian kertas dan pensel (ujian bertulis) dan ujian lisan.
Ujian bukan berbahasa contohnya adalah ujian prestasi yang lebih tertumpu kepada kemahiran psikomotor.
   
2.0    Pengukuran:

    Pengukuran adalah     satu proses mendapatkan penjelasan secara numerik atau melalui angka tentang tentang sebanyak mana individu atau pelajar mempunyai suatu ciri yang diukur dengan menggunakan alat atau instrumen tertentu (Azizi, 2008). Menurut Bhasah (2009) pengukuran adalah pemberian angka-angka atau nombor kepada sesuatu objek atau perkara mengikut satu set peraturan yang telah ditetapkan. Alat pengukuran yang digunakan oleh guru mungkin terdiri daripada ujian, skala kadar (rating scales) atau senarai semak. Contoh bagi pengukuran adalah skor atau markah 85 daripada 100 markah bagi sesuatu ujian.

2.1    Tujuan Pengukuran:

a)Mengesan hasil-hasil pembelajaran dan jenis-jenis kemahiran yang diperoleh.

b)Mengesan jenis-jenis masalah pembelajaran yang dihadapi oleh pelajar.

c)Membandingkan pencapaian dan kedudukan di antara pelajar dalam mata pelajaran yang tertentu ataupun keseluruhan pencapaian akademiknya.

d)Mendapat maklumat untuk membuat pengelasan dan menempatkan pelajar dalam jurusan kurikulum yang sesuai.

e)Mendapat maklumat untuk rekod prestasi dan rekod profil sebagai maklum balas kepada pelajar dan ibu bapa.


3.0    Penilaian:

    Menurut Siti Rahayah (2003), penilaian adalah satu sistem atau proses yang meliputi aktiviti-aktiviti mengumpul maklumat tentang strategi dan aktiviti pengajaran dan pembelajaran, untuk membuat analisis dan keputusan yang sewajarnya dan merancang aktiviti pengajaran dan pembelajaran selanjutnya dengan cara yang berkesan. Dalam konteks yang lebih luas, penilaian adalah satu usaha mengemukakan pendapat tentang nilai sesuatu idea, penyelesaian, kaedah, bahan dan sebagainya. Ia melibatkan penggunaan kriteria dan juga standard untuk menentukan sejauh mana sesuatu itu tepat, berkesan, ekonomikal atau memuaskan.

    Menurut Gay (1985) dalam Bhasah (2009), penilaian adalah satu proses yang sistematik semasa mengumpul dan menganalisis data bagi menentukan sama ada sesuatu objektif yang telah ditetapkan itu telah dicapai. Seterusnya membolehkan guru membuat pertimbangan atau keputusan yang tepat berhubung pengajaran dan pembelajaran.
Penilaian adalah satu proses sistematik untuk menentukan sejauh mana objektif pengajaran telah dicapai oleh para pelajar. Suatu proses mentaksir sama ada kuantiti sesuatu yang diukur itu boleh diterima atau tidak. Ia melibatkan pengenalpastian, pemerolehan dan pentafsiran maklumat yang berguna bagi pertimbangan pilihan-pilihan keputusan berasaskan kepada sesuatu objektif pendidikan.

    Penilaian merupakan satu aspek penting dan sangat mustahak dalam pendidikan. Penilaian dilakukan dalam semua aspek pendidikan bagi mengenal pasti status semasa dan seterusnya bagi tujuan perancangan program-program penambahbaikkan pendidikan. Melalui penilaian pengajaran dan pembelajaran, para pengajar, pensyarah, guru, pelajar, murid, ibu bapa, pentadbir dan perancang pendidikan mempunyai asas yang kukuh bagi meningkatkan tahap keberkesanan pengajaran dan pembelajaran.

3.1    Maklumat/data untuk penilaian adalah berbentuk:

a)Kualitatif

Menggunakan maklumat kualitatif yang mengandungi pernyataan deskriptif bertujuan untuk menghuraikan dengan lebih lanjut, jelas atau membuat analisis terhadap sesuatu isu (Bhasah, 2009).

Data kualitatif diperoleh daripada rekod peristiwa dan rekod pemerhatian tingkah laku seseorang individu.
Contoh: Muhammad Haziq seorang pelajar yang pintar dan cerdas.   
     

b)Kuantitatif
Data kuantitatif meliputi nilai berangka atau markah seperti Nurul     Izzah mempunyai darjah kecerdasan 120.
Ringkasnya penilaian merupakan satu aspek proses pembelajaran yang penting kerana ia menggalakkan murid menbaiki pencapaiannya, membantu guru membuat taksiran tentang pembelajaran murid-murid, dan menggalakkan guru membuat taksiran tentang kesan pengajaran mereka.       
   

3.2    Proses Penilaian
Pada umumnya, proses membuat penilaian adalah seperti berikut:

a)    Menentukan jenis data yang harus dikumpulkan
b)    Menentukan jenis responden/subjek
c)    Pengumpulan data
d)    Analisis
e)    Interpretasi data
f)    Membuat keputusan

3.3    Tujuan Penilaian:

a)    Mengumpul maklumat pencapaian pelajar, membuat analisis dan mengambil tindakan yang selanjutnya.
b)    Menentukan kekuatan dan kelemahan pelajar serta merancang aktiviti pengayaan dan pemulihan.
c)    Membuat pertimbangan dan penghakiman terhadap kualiti, keberkesanan atau nilai sesuatu aktiviti pendidikan.
d)    Menentukan pencapaian objektif pelajaran yang ditetapkan untuk pengajaran dan pembelajaran pada masa akan datang.
e)    Membantu guru mengetahui tahap pencapaian sesuatu objektif pengajaran, keadaan ini memudahkan guru membuat keputusan.
   
Anda dikehendaki mencari maklumat tentang pelaksanaan Penilaian Kendalian Sekolah (PKS) bagi mata pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan di sekolah anda.

4.0    Pentaksiran

Menurut Cizek (1993) dalam Bhasah (2009), pentaksiran bilik darjah meliputi satu kaedah dan sumber yang luas digunakan oleh guru untuk mengumpulkan, menginterpretasi dan mensintesis maklumat tentang pelajar. Pentaksiran adalah proses yang melibatkan pengutipan, sintesis dan interpretasi maklumat dalam membuat keputusan (Airasian, 2001) dalam Vincent Pang dan Denis Lajium (2008).

Menurut Bhasah (2009), istilah pentaksiran dan penilaian saling bertukar ganti. Umumnya pentaksiran melibatkan membuat keputusan berdasarkan kepada sesuatu peraturan dan piawaian. Pentaksiran adalah sebahagian daripada proses pembelajaran, oleh itu pentaksiran dan penilaian merupakan satu proses berterusan yang digabungkan ke dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

Pentaksiran bukan sahaja melibatkan pentadbiran, pemarkahan dan penggredan sesuatu ujian tetapi mencakupi pengutipan segala bentuk maklumat yang membantu pemahaman mengenai pelajar dan pemantauan pengajaran. Pelbagai kaedah pengutipan maklumat dan interpretasi juga terlibat dalam pentaksiran. Sebagai contoh, Azni mendapat 85 markah untuk mata pelajaran Kajian Tempatan. Dalam pentaksiran kita tidak dapat mengatakan sama ada prestasi Azni baik atau tidak kerana markah tersebut tidak mencukupi untuk memberi maklumat yang berkenaan. Yang diukur adalah prestasinya sahaja, ada beberapa perkara yang tidak dapat ditunjukkan atau ditentukan daripada penaksiran. Contohnya nilai, sebab-sebab pelajar mendapat markah sedemikian, tahap program, pendekatan pengajaran dan pembelajaran dan keberkesanan objektif kurikulum tercapai atau tidak.

4.1    Ciri-ciri pentaksiran

a)Pentaksiran merupakan satu proses mengumpul data bertujuan membuat keputusan tentang individu atau kumpulan.

b)Ujian merupakan sebahagian daripada pentaksiran.

c)Semasa membuat pentaksiran ke atas pelajar, guru sebenarnya mengukur tahap kecekapan untuk menentukan sama ada tahap kecekapan yang perlu dikuasai pada satu-satu peringkat pengajaran dan pembelajaran telah dapat diwujudkan.

4.2    Tujuan Pentaksiran

a)Membolehkan sistem persekolahan, sekolah-sekolah,  guru dan pelajar meningkatkan dan memberikan piawaian yang lebih bermakna.

b)Memberikan fokus atau tumpuan serta arah kepada pengajaran dan pembelajaran dalam menepati piawaian yang ditetapkan.

c)Memberi sijil kepada pelajar yang menunjukkan kecekapan dalam sesuatu bidang pembelajaran dan guru menentukan tahap pencapaian pelajar berbanding dengan kriteria yang telah ditetapkan.

d)Mengunakan maklum balas dari hasil pentaksiran untuk pendidik dan pelajar memahami dan memberi tumpuan bagi meningkatkan aspek berkaitan pengajaran dan pembelajaran mereka. Contohnya, mencari punca kelemahan dan membantu pelajar untuk meningkatkan prestasi atau memperbaiki kaedah pengajaran.

e)Meningkatkan motivasi pelajar untuk belajar dengan lebih baik, pengajar memberi pengajaran yang lebih bermakna dan sistem persekolahan yang lebih berkesan. Contohnya, apabila pelajar dapat melaksanakan tugasan dengan cemerlang, mereka diberikan pengiktirafan di atas pencapaian mereka.



5.0    Perbezaan antara Pengujian, Pengukuran dan Penilaian

6.0    Kepentingan pentaksiran dalam pembelajaran Pengajian Sosial adalah seperti berikut;

a)Memberi maklum balas tentang keberkesanan pengajaran guru. Daripada keputusan prestasi pelajar, dapat membantu guru mempertingkatkan pengajarannya. Guru dapat mengenal pasti kekuatan dan kelemahan pengajaran berdasarkan objektif yang ditetapkan.

b)Memberi kesan yang sangat hebat iaitu secara umumnya kesannya adalah memberi motivasi kepada pelajar yang mempunyai matlamat yang jelas dalam pembelajaran. Pelajar perlu berusaha untuk lulus dalam peperiksaan kerana hasil peperiksaan memberi satu status pencapaian akademik. Ini merupakan motivasi yang menyebabkan pelajar berminat untuk belajar.

c)Memaklumkan kepada pelajar dan ibu bapa tentang kemajuan terhadap penguasaan pengetahuan, kemahiran, sikap dan perlakuan yang sepatutnya telah dikuasai.

d)Mendapat maklumat secara berterusan tentang pengajaran dan pembelajaran.
   
e)Menilai aktiviti yang dijalankan semasa pengajaran dan pembelajaran.
   

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

7 elemen muzik

LATITUD DAN LONGITUD

LAGU FLY KENYALANG FLY, FLY HIGH