Cardiff City tawar Safee satu lagi sesi latihan

KUALA LUMPUR - Aksi memikat 'Harimau Berantai Malaya', Safee Sali pada ujian dan latihan hampir dua minggu di Cardiff City, mendorong pengurus kelab bola sepak Liga Kejuaraan England itu, Malky Mackay menawarkannya satu lagi sesi latihan bagi tempoh yang sama pada masa hadapan.
Menyifatkan penyerang handalan Asia Tenggara itu sebagai kebanggaan negaranya dan kelab Pelita Jaya Indonesia, Mackay berkata: "Kami memintanya agar kembali ke sini bagi dua minggu lagi pada masa hadapan, kerana ia akan memanfaatkan semua pihak yang berkenaan.

"Dalam tempoh ujian 10 hari itu (sejak 12 hingga 26 September), Safee menunjukkan sikap dan etika kerja yang terpuji ketika menyesuaikan diri dengan persekitaran dan cara latihan kami di Cardiff City.
"Memang ada perubahan besar dan gaya serta tahap bola sepak yang berlainan di sini tetapi dia mampu menyesuaikan diri dan menerapkannya dengan baik," katanya," katanya dalam kenyataan akhbar yang dikeluarkan kelab The Bluebirds dan berpangkalan di selatan Wales itu.
Beliau turut menyedari khidmat 'David Beckham Malaysia' seperti digelar media Wales ini, turut ditagih skuad kebangsaan Malaysia dan Pelita Jaya.
Mackay bagaimanapun menjelaskan bahawa agak sukar untuk mendapatkan gambar aksi Safee sepanjang ujian 10 hari itu seperti yang dikehendaki media terutama apabila berdepan sejumlah perlawanan liga dan persediaan yang perlu dilakukan The Bluebirds.
Sementara itu, Safee turut mengulas pengalaman yang ditimba dengan pasukan utama dan simpanan di kelab yang dimiliki warga Malaysia, Datuk Chan Tien Ghee itu: "Perlawanan di sini jauh lebih pantas. Anda tidak punya banyak masa dengan bola. Ia memang tahap bola sepak yang baru dan berbeza sama sekali.
"Latihan berjalan lancar dan semua rakan sepasukan amat mengalu-alukan kehadiran saya. Walaupun cuma hampir dua minggu, banyak yang saya pelajari sini. Insya Allah, saya mungkin kembali pada masa hadapan," katanya.
Penjaring terbanyak Piala Suzuki AFF 2010 ini sempat menonton perlawanan Liga Kejuaraan Cardiff City menentang Leicester City, Ahad lalu yang turut dihadiri Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Britain, Datuk Zakaria Sulong dan isterinya.
Selepas merayakan sambutan Hari Malaysia di sana semalam, Safee pulang ke tanah air dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA), Sepang kira-kira pukul 2 petang ini bagi menyertai latihan skuad negara menjelang persahabatan dengan Australia di Canberra, 7 Oktober.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

7 elemen muzik

LATITUD DAN LONGITUD

LAGU FLY KENYALANG FLY, FLY HIGH