PIDATO SATU MALAYSIA
Terima kasih saudara pengerusi majlis,
Assalamualaikum pembuka bicara,
Kepada hakim yang arif bijaksana,
Tak lupa juga penonton dan pengacara,
Di majlis ini kita bersua.
Yang di hormati barisan guru-guru, barisan panel hakim yang sentiasa berteraskan panji-panji keadilan, penjaga masa yang akur dengan detik-detik puakanya, barisan rakan pelajar dan sidang hadirin yang dirahmati Allah s.w.t.
Assalamualaikum dan salam intelektual, berdirinya saya pada pagi yang indah ini adalah untuk menyampaikan sebuah pidato yang bertajuk GAGASAN SATU MALAYSIA
Sidang hadirin yang dimuliakan,
Tanggal 3 April 2009 yang lalu, bermulalah detik era pemerintahan Dato' Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak yang telah dilantik menjadi Perdana Menteri Malaysia menggantikan kepimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi. Sebaik-baik sahaja beliau mengangkat sumpah sebagai perdana menteri Malaysia yang ke 6, beliau sentiasa berusaha menyatupadukan warganegara majmuk.
Sehubungan dengan itu, beliau telah memperkenalkan kepada rakyat Malaysia satu gagasan iaitu GAGASAN SATU MALAYSIA. Ungkapan "RAKYAT DIDAHULUKAN, PENCAPAIAN DIUTAMAKAN" adalah 'tagline' kepada gagasan tersebut. Natijah pembentukannya bertujuan menyemarakkan semula semangat perpaduan dan persaudaraan dikalangan rakyat Malaysia yang semakin pudar. Ini adalah kerana perpaduan memainkan peranan penting dalam memacu kestabilan dan kemajuan negara tanpa perpaduan, kemajuan negara yang ingin dicapai untuk wawasan 2020 tidak mungkin akan menjadi kenyataan kerana kerjasama diperlukan untuk menjana kemajuan. Oleh yang demikian, Gagasan satu Malaysia didukungi oleh teras perpaduan manakala teras perpaduan itu pula didukungi oleh nilai-nilai murni.
Para hadirin yang saya hormati,
Seiringan dengan itu, rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan etnik serta agama diseru agar bersatu-padu memupuk perpaduan bergerak membentuk satu "unity" yang mengandungi nilai-nilai aspirasi iaitu budaya berprestasi tinggi, budaya ketepatan, keberanian, meritokrasi, kesetiaan, ketabahan, integriti dan cintakan ilmu.
Namun perpaduan hanya boleh dicapai dengan memastikan seluruh rakyat Malaysia memahami, menghayati dan mengamalkan nilai-nilai murni, teras aspirasi dan teras perpaduan, Melalui penyatuan rakyat, negara dapat membina satu negara bangsa yang kukuh, prograsif, makmur dan muafakat, bak kata bidalan "muafakat membawa berkat".
Para hadirin yang di rahmati Allahs.w.t.
Pembentukan Gagasan 1 malaysia adalah bermatlamat supaya kepelbagaian sosio-budaya dan ekonomi rakyat dapat dicanai dan digemblengkan menjadi ciri-ciri kekuatan nasional dan seterusnya dapat diterjemahkan menjadi strategi pembinaan negara bangsa. Justeru itu, bagi mengaplikasikan gagasan ini, ianya memerlukan komitmen, kematangan minda, toleransi dan pengorbanan di kalangan warga Negara Malaysia. Maka semua rakyat Malaysia perlu menganggap Malaysia adalah miliknya dan semua bangsa di Malaysia adalah rakyat Malaysia, Lantaran itu, sama-sama lah kita bersatu untuk membangunkan negara Malaysia nan satu menuju kearah matlamat wawasan 2020.
Akhirkata sebelum saya mengundur diri, izinkan saya sudahi pidato saya ini dengan serangkap pantun untuk renugan bersama……
Toleransi membina perpaduan,
perpaduan teras kemajuan,
gagasan satu Malaysia jadikan panduan,
agar matlamat wawasan jadi kenyataan.
Wabillah hi taufiq walhidayah Wassalamualaikum warahmatullah hiwabarokatuh.
Ulasan
Catat Ulasan