Asal usul Bahasa Melayu


 

Asal-usul bahasa Melayu adalah dari filum Austrik. Filum Austrik terpecah kepada dua rumpun bahasa yang besar iaitu rumpun Austroasia dan rumpun Austronesia (dulu dikenali sebagai Malayo-Polinesia) Pemecahan rumpun Austronesia kepada 4 keluarga iaitu Indonesia (Nusantara), Melanesia, Mikronesia, dan Polinesia.

Dari keluarga Indonesia (Nusantara), bahasa Melayu terpecah kepada 16 subkeluarga atau bahasa iaitu bahasa Filipina, Sumatera, Jawa, Kalimantan, Bali-Sasak, Gorontalo, Tomini, Toraja, Loinang, Bunku-Laki, Sulawesi Selatan, Muna-Butung, Bima-Sumba, Ambon-Timur, Sula-Bacon, Halmahera Selatan-Irian Jaya. Dalam subkeluarga Sumatera termasuk bahasa Aceh, Batak, Minangkabau, Melayu, Nias, Lampung, dan orang Laut.


 

Beberapa teori telah mengatakan bahawa penutur-penutur bahasa Melayu berasal dari golongan manusia yang diberi nama Austronesia. Mereka datang dari daerah Yunan dan telah turun dalam dua gelombang pergerakan ke wilayah Asia Tenggara. Golongan pertama disebut Melayu Proto yang datang sejak tahun 2,500 sebelum Masihi.Tidak dijelaskan mengapa mereka berpindah. Mereka tinggal di kuala-kuala sungai dan pantai untuk memudahkan kerja-kerja mencari makan.

Golongan kedua disebut Melayu Deutro yang datang kira-kira dalam tahun 1,500 sebelum Masihi. Perpindahan mereka juga tidak dapat dipastikan sebab-sebabnya. Melayu Deutro ini telah berpindah mengikut jalan dan laluan yang dilalui Melayu Proto. Apabila sampai di Selatan mereka mendesak golongan pertama ke daerah pinggiran, ke hulu sungai, ke kawasan gunung, atau ke tempat-tempat yang terpencil. Manakala Melayu Deutro tinggal di kawasan tanah pamah, tanah rendah, lembah sungai dan di tepi laut.


 

Selain daripada itu, terdapat teori yang menyatakan bahawa bangsa Melayu berasal dari Tanah Besar Asia Tenggara. Pendapat ini didukung oleh pengkaji-pengkaji barat. H. Kern menyatakan bahawa penduduk di Kepulauan Asia Tenggara berasal dari Assam, di bahagian timur negara India. Beliau membuat kesimpulan demikian lantaran terdapat persamaan-persamaan adat resam beberapa suku di Sumatera dan Borneo dengan suku-suku di Assam seperti suku Naga di India.

    Henry Yule pula berpendapat seperti J.R. Logan iaitu tentang wujudnya persamaan adat resam antara penduduk-penduduk di daratan Asia Tenggara dengan yang terdapat di Kepulauan Melayu. Persamaan-persamaan ini menunjukkan bahawa mereka adalah daripada keturunan yang sama.

Berdasarkan kajian-kajian ini boleh dikatakan bahawa penduduk -penduduk kepulauan Asia Tenggara hingga ke Lautan Teduh berasal dari tanah besar Asia Tenggara. Tetapi tidak dapat dipastikan dari mana. Ada yang mengatakan dari Yunan, di barat daya negeri China, dari Assam, India, dari Asia Tengah dan ada juga yang mengatakan dari bahagian selatan tanah besar Asia Tenggara.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

7 elemen muzik

LATITUD DAN LONGITUD

LAGU FLY KENYALANG FLY, FLY HIGH