Liberalisasi Sektor Kewangan


Ref No: 04/09/09

Embargo: For immediate release

Liberalisasi Sektor Kewangan

Pengumuman langkah-langkah liberalisasi hari ini bertujuan untuk memperkukuh kesalinghubungan ekonomi Malaysia dengan negara-negara lain dan meningkatkan peranan sektor kewangan sebagai pendorong dan pemangkin utama pertumbuhan ekonomi negara. Langkah-langkah liberalisasi ini adalah sejajar dengan objektif yang disasarkan di bawah Pelan Induk Sektor Kewangan (Financial Sector Master Plan, FSMP) yang dikeluarkan pada tahun 2001 untuk membangunkan sektor kewangan yang berdaya tahan, pelbagai dan berkesan. Lebih 90% daripada inisiatif FSMP telah pun dilaksanakan atau sedang dalam pelaksanaan.

Reformasi kewangan dan usaha bina upaya yang dilaksanakan sejak beberapa tahun yang lalu telah pun membuahkan hasil yang menggalakkan. Peningkatan yang nyata telah dicapai oleh institusi kewangan domestik. Bank domestik mempunyai tahap permodalan yang kukuh dengan nisbah modal wajaran risiko (risk-weighted capital ratio, RWCR) pada 12.5% dan saiz aset purata pada RM91.6 bilion. Bank domestik juga lebih berdaya tahan dengan tadbir urus korporat yang lebih teguh, struktur dalaman yang cekap, amalan pengurusan risiko yang teguh dan sumber pendapatan yang pelbagai. Kapasiti yang lebih kukuh juga telah membolehkan bank domestik meneroka ke luar negara dan meraih manfaat daripada peluang-peluang perniagaan baharu. Meskipun persekitaran untuk beroperasi semakin mencabar, bank domestik telah berjaya mengekalkan bahagian pasaran sebanyak lebih daripada 70%.

Institusi kewangan kini lebih bersedia untuk bersaing dalam persekitaran yang lebih liberal dan mencabar. Sektor perkhidmatan kewangan telah mencapai pembangunan yang melangkaui peranannya sebagai pembantu penjana pertumbuhan kepada satu sektor pertumbuhan yang dapat mewujudkan perniagaan nilai ditambah, menarik pelaburan dan membuka peluang pekerjaan. Sejak beberapa tahun yang lalu, sumbangan sektor kewangan kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) telah meningkat daripada 9% pada tahun 2000 kepada 11% pada tahun 2008. Khususnya, dalam tiga tahun kebelakangan ini, sektor kewangan dan insurans berkembang sebanyak 8.8% setahun, mengatasi pertumbuhan KDNK benar. Pertumbuhan sektor perbankan Islam dan takaful berpurata sekitar 20% dalam lima tahun kebelakangan ini. Sementara kemajuan yang nyata telah dicapai oleh sektor kewangan, landskap kewangan domestik dan global terus berkembang lantas mewujudkan cabaran dan juga peluang baharu bagi sistem kewangan dan ekonomi negara secara keseluruhan.

Dalam usaha memajukan negara ke tahap pembangunan seterusnya, rancangan liberalisasi bertujuan untuk merebut peluang yang boleh menjana manfaat sebenar dan menyumbang kepada kemajuan sektor kewangan dan ekonomi negara secara keseluruhan, sambil memastikan kestabilan dan kekukuhan kewangan negara terus terpelihara.

Pendekatan Malaysia ke arah liberalisasi adalah secara beransur-ansur, teratur dan terpilih bagi memastikan negara dapat meraih manfaat maksimum. Rancangan liberalisasi akan disokong oleh perlindungan yang mencukupi bagi memastikan seluruh fungsi pengantaraan sistem kewangan akan terus teguh, berkesan dan kukuh. Usaha-usaha untuk membina kapasiti dan institusi akan diteruskan, dengan disokong oleh pengukuhan rangka kerja pengawalan, penyeliaan dan pengawasan untuk mengekalkan daya tahan sistem kewangan.

Pengaturan keinstitusian yang sedia ada akan ditingkatkan lagi untuk memastikan bekalan tenaga mahir yang berterusan kepada sistem kewangan. Rancangan liberalisasi ini akan memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab kewangan Islam antarabangsa.

Pakej liberalisasi sektor kewangan konvensional dan Islam merangkumi langkah-langkah berikut:

A. Pengeluaran lesen baharu

  1. Sehingga dua lesen perbankan Islam baharu akan ditawarkan kepada peserta asing pada tahun 2009 untuk penubuhan bank-bank Islam baharu dengan modal berbayar sekurang-kurangnya USD1 bilion bagi mempertingkatkan kesalinghubungan global, memanfaatkan perkembangan global dalam kewangan Islam dan memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab kewangan Islam antarabangsa;
  2. Sehingga dua lesen perbankan perdagangan baharu akan ditawarkan kepada peserta asing pada tahun 2009 yang akan membawa kepakaran khusus bagi memenuhi keperluan dalam sektor kewangan dan merangsang perkembangan ekonomi sasaran;
  3. Sehingga tiga lesen perbankan perdagangan baharu akan ditawarkan pada tahun 2011 kepada bank-bank bertaraf dunia yang dapat memberikan manfaat besar kepada Malaysia .
  4. Sehingga dua lesen takaful keluarga baharu akan diberikan pada tahun 2009 kepada peserta yang dapat memberikan manfaat besar kepada Malaysia bagi merangsang pembangunan industri takaful dan memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab kewangan Islam antarabangsa.

Butiran terperinci mengenai kriteria dan keperluan penyerahan bagi permohonan lesen baharu akan dikeluarkan dalam siaran akhbar yang berasingan.

B. Kenaikan Had Ekuiti Asing

  1. Berkuat kuasa dengan serta-merta, bank-bank Islam domestik sedia ada yang berhasrat untuk meluaskan operasi dan mengembangkan usaha niaga masing-masing dalam pasaran global diberikan lebih banyak fleksibiliti untuk mengadakan perkongsian strategik dengan peserta asing menerusi kenaikan had ekuiti asing sehingga 70%. Bank-bank ini dikehendaki mengekalkan modal berbayar sekurang-kurangnya USD1 bilion.
  2. Berkuat kuasa dengan serta-merta, bank-bank pelaburan diberikan fleksibiliti untuk mengadakan perkongsian strategik asing bagi mempertingkatkan hubungan antarabangsa dan peluang perniagaan. Sehubungan dengan itu, had ekuiti asing dalam bank-bank pelaburan akan dinaikkan kepada 70%.
  3. Berkuat kuasa dengan serta-merta, bagi mengukuhkan lagi daya tahan dan daya saing industri insurans dan takaful, syarikat insurans dan pengendali takaful diberikan lebih banyak fleksibiliti untuk mewujudkan hubungan dengan rakan kongsi asing. Sehubungan dengan itu, had ekuiti asing dalam syarikat insurans dan pengendali takaful akan dinaikkan kepada 70%.
  4. Had ekuiti asing yang lebih tinggi melebihi 70% bagi syarikat insurans akan dipertimbangkan mengikut keperluan untuk peserta yang dapat memudahkan penyatuan dan perasionalan industri insurans. Penanggung insurans sedia ada yang turut serta dalam proses ini akan diberikan fleksibiliti dalam memenuhi keperluan pemberhentian pelaburan.

C. Kefleksibelan Operasi  

  1. Bagi mempertingkatkan peluang bank-bank perdagangan asing yang diperbadankan di Malaysia meningkatkan potensi mereka bagi menyediakan perkhidmatan kewangan kepada sektor ekonomi yang kurang mendapat perhatian, berkuat kuasa dengan serta-merta, bank perdagangan asing yang diperbadankan di dalam negeri dibenarkan membuka sehingga 10 cawangan pembiayaan mikro. Pembukaan cawangan lain akan dipertimbangkan berdasarkan keberkesanan cawangan-cawangan ini dalam menyediakan perkhidmatan kepada perusahaan mikro;
  2. Bagi menggalakkan akses kepada kewangan yang lebih meluas dan mempertingkatkan keupayaan bank-bank perdagangan asing yang diperbadankan di dalam negeri untuk memainkan peranan pengantaraan dengan lebih berkesan dalam ekonomi dalam negeri, bank perdagangan asing yang diperbadankan di Malaysia akan dibenarkan membuka sehingga empat cawangan baharu pada tahun 2010 berdasarkan nisbah pengagihan 1( pusat pasaran): 2(separa bandar): 1(bukan bandar);
  3. Berkuat kuasa dengan serta-merta dan bagi meningkatkan penembusan insurans dan takaful di dalam negeri, syarikat insurans dan pengendali takaful asing yang diperbadankan di dalam negeri dibenarkan membuka cawangan di seluruh negara tanpa sekatan;
  4. Berkuat kuasa dengan serta-merta dan bagi mempertingkatkan penembusan insurans dan takaful di dalam negeri, sekatan terhadap syarikat insurans dan pengendali takaful yang diperbadankan di dalam negeri untuk mewujudkan pengaturan bankasurans/banktakaful dengan institusi perbankan kini dihapuskan.
  5. Berkuat kuasa dengan serta-merta, institusi perbankan, syarikat insurans dan pengendali takaful akan diberikan lebih banyak fleksibiliti untuk menggunakan ekspatriat yang mempunyai kepakaran khusus dalam menyumbang kepada pembangunan sistem kewangan di Malaysia;
  6. Bagi menyediakan persekitaran perniagaan yang lebih fleksibel dari segi pengendalian, institusi perbankan luar pesisir yang dilesenkan oleh Lembaga Perkhidmatan Kewangan Luar Pesisir Labuan (LOFSA) yang memenuhi kriteria yang telah ditetapkan akan diberikan fleksibiliti untuk beroperasi di dalam negeri (onshore) mulai tahun 2010. Syarikat insurans luar pesisir yang dilesenkan oleh LOFSA dan memenuhi kriteria yang telah ditetapkan juga akan diberikan fleksibiliti untuk beroperasi di dalam negeri (onshore) mulai tahun 2011. Fleksibiliti ini akan disokong oleh pengukuhan rangka kerja pengawalan dan penyeliaan yang mengawal selia peserta-peserta ini.

Liberalisasi ini merupakan peristiwa penting ke arah pencapaian wawasan jangka panjang negara untuk mempunyai sektor kewangan yang cekap, berdaya tahan dan dinamik. Liberalisasi ini juga dijangka menyumbang ke arah proses transformasi ekonomi Malaysia ke fasa pembangunan berikutnya.

Lihat juga:

  1. Kenyataan Akhbar mengenai Liberalisasi Sektor Kewangan oleh Y.A.B. Dato' Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia
  2. Kenyataan Akhbar mengenai Pengeluaran Lesen Perbankan Perdagangan Baharu
  3. Kenyataan Akhbar mengenai Pengeluaran Lesen Baharu Perbankan Islam dan Takaful Keluarga
  4. Kenyataan Akhbar mengenai Syarikat Induk Labuan di Kuala Lumpur [PDF]

 
 

 
 

Bank Negara Malaysia
27 April 2009

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

7 elemen muzik

LATITUD DAN LONGITUD

LAGU FLY KENYALANG FLY, FLY HIGH