PERKAITAN SEMANGAT NASIONALISME DALAM SUBJEK SEJARAH PERKEMBANGAN NEGARA DALAM PEMBENTUKAN JATI DIRI PELAJAR.

AL

Ditulis oleh Saberi dan Elfi
Subjek Sejarah Perkembangan Negara merupakan salah satu daripada subjek diajar dalam Pengajian Sosial. Ia merupakan subjek major untuk Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan Pengajian Sosial. Subjek ini diajar pada semester kedua tahun pertama ijazah. Perkembangan Sejarah Negara adalah subjek yang mengajar mengenai kepentingan sejarah kepada pembentukan Malaysia pada masa kini. Subjek ini juga menerapkan semangat nasionalisme dalam kalangan pelajar yang mengambil subjek ini.
Menurut huraian sukatan pelajaran yang diajar untuk subjek ini, saya telah mengenal pasti beberapa tajuk yang mempunyai unsur semangat nasionalisme. Tajuk-tajuk yang telah dipilih ialah Tajuk 2: Kesultanan Melayu Melaka Sebagai Tunjang Pembinaan Negara, Tajuk 3: Zaman Sebelum Kemerdekaan Dan Tajuk 4: Zaman Selepas Kemerdekaan. Semua tajuk yang dipilih adalah berkaitan dengan nasionalisme dalam membentuk jati diri pelajar.
Perkaitan nasionalisme dalam dalam Tajuk 2 : Kesultanan Melayu Melaka. Menurut Ruslan Zainuddin dalam buku Kenegaraan Malaysia, Melaka merupakan sebuah kerajaan yang telah dibuka oleh Parameswara atau Raja Iskandar Syah pada awal kurun ke-15, iaitu sekitar tahun 1400 Masihi. Atas kebijaksanaan dan kemantapan pentadbiran yang dilaksanakan oleh Parameswara, Melaka berjaya berkembang menjadi sebuah pelabuhan entreport dan terkenal. Melaka mempunyai sumber asli yang diperlukan oleh para pedagang asing. Rakyat tempatan gigih mendapatkan sumber asli untuk dijadikan barang dagangan dengan semangat yang berkobar-kobar dalam memajukan Melaka. Kebijaksanaan raja dan para pembesar dalam menyaingi pelabuhan-pelabuhan lain dalam rantau Nusantara dengan mengenakan sistem pungutan cukai yang rendah dan teratur bagi menarik lebih ramai para pedagang untuk berniaga di Melaka. Selain itu, Melaka juga menjadi tumpuan perkembangan agama dan sosio budaya. Menurut Ruslan Zainuddin (2003) dalam buku Sejarah Malaysia, catatan Marco Polo mengatakan bahawa Agama Islam mula menapak di Tanah Melayu sebelum abad ke-15 dan sekitar abad ini juga Melaka muncul sebagai pusat penyebaran agama Islam di Asia Tenggara. Islam telah banyak mengubah sosio budaya masyarakat tempatan serta corak pemerintahan Melaka dan seterusnya membawa Melaka ke puncak yang lebih gemilang. Bahasa Melayu juga telah digunakan sebagai bahasa perantaraan, iaitu lingua franca dan kekal hinggalah kejatuhannya menurut Ruslan Zainuddin (2005) dalam buku Kenegaraan Malaysia. Sehingga kini, bahasa Melayu menjadi bahasa rasmi dan pertuturan di beberapa buah negara seperti Indonesia, Brunei Darussalam, Timor Leste, Singapura, Selatan Thailand dan Selatan Filipina. Ini membuktikan betapa tingginya usaha dan semangat nasionalisme rakyat Melaka dalam memartabatkan bahasa Melayu sehingga menjadi lingua franca dan harus dicontohi oleh pelajar-pelajar kini. 

Tak sampai 2 saat klik iklan di bawah... :)



Menurut Haji Buyong Adil (1983) dalam bukunya Perjuangan Orang Melayu Menentang Penjajah Abad 15-19, Melaka mempunyai angkatan tentera laut yang kuat yang dibantu orang Laut dalam menjaga perairan Melaka dan menakluk negeri-negeri yang berdekatan. Sewaktu penjajahan Portugis pada tahun 1511 hingga 1641 rakyat Melaka menunjuk semanga juang dan nasionalisme yang tinggi dalam mempertahankan Melaka sewaktu serangan Portugis terhadap Melaka walaupun dari segi senjata, askar Melaka agak ketinggalan daripada Portugis yang menggunakan senjata moden seperti senapang dan meriam. Askar-askar rela berkorban nyawa demi mempertahankan Melaka.Selepas Melaka jatuh ke tangan Portugis, orang Melayu tidak berputus asa dalam menawan semula Melaka daripada Portugis. Sultan Mahmud bangkit semula menentang penjajahan Portugis (1511 hingga 1528) dengan memberi tentangan yang hebat. Buktinya ialah Portugis gagal dan kalah dalam misi menawan Bentan di mana tempat Sultan Mahmud bersemayam dan berkerajaan. Hal ini kerana orang Melayu memberi tentangan yang hebat, lebih-lebih lagi mendapat bantuan daripada orang-orang Melayu daripada negeri-negeri berdekatan. Mereka bersatu dalam berperang dengan Portugis. Antara hulubalang yang gagah berani ialah Hang Nadim dan Sang Setia. Sang Setia telah terkorban dalam mempertahankan Bentan dan Sultan Mahmud. Manakala, Sultan Mahmud agak keberatan meninggalkan medan perang kerana baginda berjiwa kental dan mahu berjuang bersama hulubalang. Walaupun begitu, atas desakan dan nasihat orang-orang besar baginda akhirnya bertolak ke Kampar. Pada tahun 1528, baginda mangkat di Kampar dan perjuang baginda diteruskan oleh putera baginda iaitu Sultan Alauddin Riayat Syah II, suami puteri almarhum Sultan Alauddin Syah II iaitu Sultan Ali Jalla Abdul Jalil Shah II dan kerajaan Johor. Mereka mampu memberi tentangan yang hebat terutama ketika mengepung Melaka dalam tahun 1551. Di sini kita dapat lihat kekuatan orang Melayu terbina hasil daripada semangat nasionalisme dan penyatuan orang-orang Melayu dalam menentang Portugis.
Interpretasi peristiwa sejarah dalam pembentukan jati diri rakyat Melaka, hal ini membuktikan membuktikan bahawa rakyat Melaka pada masa dahulu mempunyai semangat nasionalisme yang tinggi dalam memajukan Melaka menjadi sebuah empayar gemilang dan maju serta taat setia yang tidak berbelah bagi kepada sultan walaupaun tika bangun dan jatuhnya Melaka. Konsep tulah dan tidak mahu derhaka kepada sultan adalah faktor kegemilangan Melaka.
Hal ini hendaklah disemai dalam diri pelajar (generasi muda) kini dalam membangunkan negara dengan memberi taat setia kepada Raja dan negara. Kita harus mengambil iktibar dan tidak melupakan apa yang telah berlaku pada zaman Kesultanan Melayu Melaka. Tanggungjawab kita kini adalah mengulangi lagi kegemilangan empayar Melaka dalam membina negara Malaysia yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Semangat tidak berputus asa orang-orang Melaka dalam mempertahankan dan menawan semula Melaka daripada tangan penjajahan sehingga sanggup mengorbankan nyawa mereka demi tanah air tercinta hendaklah dijadikan contoh teladan kepada kita bahawa betapa besarnya pengorbanan yang telah dilakukan oleh mereka. Kita hendaklah menjadikan satu pembakar semangat dalam membangun negara serta mempertahankan negara daripada ancaman musuh.
Perkaitan yang seterusnya ialah dalam topik 3 iaitu Zaman Sebelum Kemerdekaan. Subtopik pertama adalah campur tangan British di Tanah Melayu. Menurut Ruslan Zainuddin (2003) dalam buku Sejarah Malaysia,kejatuhan Pulau Pinang ke atas British disebabkan masalah perebutan takhta kerabat DiRaja Kedah dan ancaman luar daripada Siam, Burma dan Bugis. Sultan Muhammad Jiwa telah meminta bantuan ketenteraan daripada British. Francis Light yang menganggap tawaran daripada Sultan Muhammad Jiwa sebagai peluang keemasan untuk mendapatkan Pulau Pinang dengan menggunakan tipu helah. Nampaknya British tidak mengotakan janji dan tidak mahu memberi bantuan ketenteraan . Mereka hanya bersetuju untuk mengawal perairan Pulau Pinang dan Kedah.Kerajaan Kedah tidak berpuas hati dan bersedia untuk menyerang Pulau Pinang. Askar-askar Kedah telah membuat kubu pertahanan di Seberang Perai bagi menghadapi apa jua serangan British dan tempat berkumpul untuk menyerang Pulau Pinang.Tetapi malangnya Pulau Pinang terlebih dahulu menyerang kubu pertahan Kedah di Seberang Perai. Semangat nasionalisme yang terserap dalam diri setiap askar Kedah menyebabkan mereka sedaya upaya menangkis serang British. Walaupun perang tersebut berpihak kepada British, tetapi semangat juang menentang penjajah di bumi Pulau Pinang dapat kita lihat dengan jelas. Kedaulatan Kedah masih terjaga di bawah Sultan Abdullah ketika itu. Menurut kronologi yang telah disediakan oleh Kerajaan Melaka di laman web http://www.melaka.gov.my/bm/mengenai-melaka/sejarah-melaka.html, negara ini telah dijajah oleh Portugis selama 130 tahun dan belanda Belanda memerintah negara ini selama 154 tahun sebelum British . Melaka diserahkan kepada British melalui perjanjian British-Belanda. Hal ini menyebabkan kepulauan Melayu terpecah dua . Menurut Haji Buyong Adil (1983) dalam buku Perjuangan Orang Melayu Menentang Penjajahan Abad 15-19, Perang Naning memperlihatkan perjuang orang Melayu dibawah pimpinan Datuk Dol Sa’id. Mereka berjuang menentang British kerana British menganggap Naning dalam wilayah Melaka dan perlu membayar cukai. Namun begitu, Datuk Dol Sa’id enggan mengakui Naning dalam wilayah Melaka dan enggan membayar cukai. British menyerang Naning tetapi gagal kerana Naning telah mendapat bantuan ketenteraan daripada Rembau. Selain itu,faktor kemenangan ini disebabkan strategi perang gerila yang tidak takut mati oleh askar-askar Naning dan Rembau. Mereka tidak rela bumi mereka dijajah oleh Britsih. Walaupun begitu, akhir mereka kalah dalam serang British yang berikutnya kerana ketiadaan bantuan daripada Rembau.
Keadaan yang di Perak yang terlibat dalam kancah perebutan takhta dalam kerabat DiRaja Perak dan pergaduhan kumpulan kongsi gelap dalam menguasai kawasan lombong bijih timah. British mengambil alasan ini untuk campur tangan dan seterusnya menjajah negeri Perak. Gerakan menentang Bristih berlaku disebabkan Residen British, J.W.W Birch yang masuk campur dalam urusan adat istiadat Melayu dan perlaksanaan cukai yang ttidak dipersetujui oleh Sultan Abdullah dan pembesar-pembesar Melayu Perak. Akhirnya J.W.W Birch dibunuh oleh pengikut-pengikut Dato’ Maharajalela di Pasir Salak. Walaupun mereka dihukum gantung sampai mati, namun mereka sanggup kerana tanah air tercinta. Begitu juga dengan Sultan Abdullah yang berjiwa rakyat dan bangkit bersama rakyat menentang British sehingga baginda dibuang negeri ke pulau Sychelles.
Menurut laman web http://www.geocities.ws/cominglucky/selangor1874.htm , kekacauan di Selangor berlaku kerana pergaduhan antara pembesar-pembesar dan pergaduhan pelombong-pelombong Cina. Antara 1867 hingga 1873 berlaku Perang Kelang antara Raja Mahdi dan Raja Abdullah (1867-1870) dan selepas 1873, di antara Raja Mahdi dengan putera Raja Abdullah iaitu Raja Ismail kerana merebut kawasan Kelang yang kaya dengan bijih timah. Selain itu, kegiatan lanun yang semakin menjadi sebab campur tangan British di Selangor. British berjaya menjajah negeri Selangor atas alasan tersebut. Walaupun begitu, Raja Mahadi dan Sutan Puasa serta orang-orang Melayu menentang penjajahan British. Keadaan dan situasi yang berlaku kepada negeri Pahang dan Negeri Sembilan disebabkan perebutan takhta, pergaduhan antara pembesar dan kongsi gelap dan kegiatan lanun. Menurut Dianne Khoo (2009) dalam buku SPM Sejarah , Dato’ Bahaman, Mat Kilau dan Tok Gajah bersatu menentang British di Pahang kerana tidak bersetuju dengan perlantikan J.P Rodger sebagai Residen dan Perlaksanaan undang-undang Britsih bertentangan dengan adat resam dan sistem politik tempatan. Manakala di Negeri Sembilan, Yam Tuan Antah menentang British kerana British menguasai Sungai Ujong,Bukit Putus, dan Terachi. Negeri Sembilan, Selangor, Perak, dan Pahang digabung menjadi Negeri-negeri Melayu Bersekutu kemudiannya.
Menurut Ruslan Zainuddin (2003) dalam buku Sejarah Malaysia ,Negeri-negeri utara iaitu Kelantan, Terengganu,Kedah dan Perlis diserah oleh Siam kepada Bristih melalui Perjanjian Bangkok pada tahun 1909. Penentangan Berlaku di Kelantan dan Terengganu disebabkan masalah cukai yang terlalu tinggi dan perlaksanaan undang-undang British. Di Kelantan, Tok Janggut dan pengikut-pengikutnya bersatu satu menentang British sehingga menyebabkan Tok Janggut gugur dalam medan perang dengan British. Manakalan di Terengganu, Haji Abdul Rahman Limbong melakukan penentangan kerana tidak berpuas hati dengan tindakan British melarang mereka membuka tanah baru tanpa kebenaran dan cukai yang tinggi. Manakala Johor pula jatuh ke tangan British disebabkan tipu musliaht British ke atas putera Sultan Abu Bakar. Johor, Terengganu, Kelantan, Kedah, dan Perlis digabung menjadi Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu.
Penentangan-penentangan di negeri-negeri Tanah Melayu adalah disebabkan semangat nasionalisme yang ada pada setiap pejuang-pejuang menentang penjajah dan rasa cinta terhadap tanah air. Mereka rela berkorban harta dan nyawa, sanggup dibuang negeri, dibunuh dan didera dan lain-lain adalah semata-mata untuk melihat tanah air bebas dariapada cengkaman penjajah. Kita hendaklah mengambil iktibar daripada perjuangan perwira-pewira tanah air dalam memperjuangkan hak dan kebebasan. Di mata penjajah mereka adalah pemberontak, tetapi di mata kita mereka adalah perwira.
Pada era penjajahan British, mereka telah melaksanakan sistem pecah dan perintah sebagai asas pentadbiran mereka. Mereka sengaja memecahkan kaum-kaum di Tanah Melayu kerana tidak mahu melihat kaum-kaum seperti Melayu, Cina dan India bersatu memberontak menentang British. Hal ini dapat memastikan kepentingan mereka terjamin di Tanah Melayu.
Disebabkan kedatangan imigran dari India dan China untuk bekerja di Tanah Melayu yang ramai, maka terbentuklah masyarakat majmuk di Tanah Melayu. Pembentukan masyarakat majmuk ini telah menyebabkan kepelbagaian budaya. Perpaduan ketika ini masih lagi belum kukuh disebabkan dasar British iaitu sistem pecah dan perinntah. Perpaduan baru terbentuk ketika Tanah Melayu dalam proses ke arah kemerdekaan .
Menurut Ruslan Zainuddin (2003) dalam buku Sejarah Malaysia,pada zaman penjajahn Jepun, kesedaran dan kebangkitan semangat nasionalisme terbentuk setelah melihat Jepun berjaya mengalahkan Rusia dalam perang Rusia-Jepun. Ini membuktikan bahawa negara Eropah tidaklah sekuat mana yang disangkakan. Jepun kemudiannya menyerang Hawaii yang diduduki oleh Amerika Syarikat. Seterusnya Jepun meluaskan empayarnya ke Tanah Besar China, Indo China dan kepulauan Melayu.
Pada 8 Disember hingga 18 Disember 1941, Jepun telah berjaya menawan Kota Bharu, Pulau Pinang, Kuantan,Alor Star, Sungai Patani, Butterworth, dan Jitra dan mara hingga ke selatan Tanah Melayu. Tiada kesungguhan British dalam mempertahankan Tanah Melayu. Ini dapat dijadikan iktibar kepada generasi kini bahawa kita sendiri yang harus berkorban dan mempersiapkan diri setiap masa dalam mempertahankan kedaulatan tanah air kerana pihak musuh hanya menanti kelalaian kita sahaja.
Dalam pertempuran di Singapura pula kita dapat saksikan perjuangan mempertahankan tanah air hingga ke titisan terakhir oleh Rejimen Melayu yang diketuai oleh Leftenan Adnan bin Saidi yang dapat kita contohi atas semangat cintakan negara. Hampir kesemua anggota pasukan tersebut terkorban.Singapura jatuh ke tangan Jepun pada 15 Februari 1942 dan menyerahkan kalah tanpa syarat oleh Jeneral Arthur Ernest Percival kerana keadaan semakin terdesak. Borneo Utara jatuh ke tangan Jepun pada 10 September 1945 dan Sarawak .
Sistem pemerintahan di Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak adalah berbentuk tentera. Jepun tidak mampu membangunkan ekonomi ketiga-tiga kawasan ini kerana dasar bumi hangus oleh Bristih sebelum mereka berundur. Akibatnya rakyat tempatan kebuluran makanan dan kemiskinan serta hidup dalam ketakutan kerana kekejaman tentera Jepun.Kekejaman Jepun akhirnya membentuk penentang rakyat tempatan. Mereka menyertai gerakan anti-Jepun dalam membebaskan tanah air.
Sesungguhnya pendudukan Jepun telah menyedarkan penduduk tempatan bahawa Jepun tidak dapat dipercayai sebagai wira Asia, malahan pendudukan mereka ibarat keluar daripada mulut singa, masuk ke dalam mulut buaya. Semestinya rakyat tempatan yang perlu bangkit dalam menentang penjajah.
Pada bulan Oktober 1945, pihak British mengumumkan satu langkah bagi menamatkan cara pemerintahan secara tidak langsungnya dengan menyatukan kesemua negeri menjadi Malayan Union di bawah seorang Gabenor yang mempunyai kuasa eksekutif. Ia juga telah mencadangkan untuk memperkenalkan kewarganegaraan Malayan Union yang akan memberi hak sama rata kepada mereka yang mengakui Malaya sebagai tanah airnya. Negeri-negeri Melayu akan menjadi wilayah British secara mutlak. Pada bulan Oktober 1945, Sir Harold MacMicheal, mengugut pihak Raja telah menandatangani perjanjian tersebut dan melepaskan hak kedaulatan dan kekuasaan mereka kepada Kerajaan British.
Semangat nasionalisme dan cintakan tanah air telah menyebabkan orang-orang Melayu bangkit . Parti-parti politik dan persatuan-persatuan ditubuhkan di seluruh negara dengan tujuan menentang cadangan Malayan Union yang akan berkuatkuasa pada 1 April 1946 di mana sebuah pentadbiran kerajaan awam akan ditubuhkan. Pada 1 March 1946 wakil daripada 41 persatuan dan pertubuhan Melayu telah membentuk Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (United Malays National Organization-UMNO) oleh Dato’ Onn Jaafar. UMNO menjadi peneraju bagi penentangan orang Melayu terhadap Malayan Union. Mereka menentang disebabkan Sir Harold MacMicheal mengugut Raja-raja Melayu , isu Jus Soli dan kesan pelaksanaan Malayan Union. UMNO dan Raja-raja Melayu telah memulaukan perlantikan Sir Edward Gent sebagai Gabenor Malayan Union di Kuala Lumpur pada 1 March 1946. Perjuangan orang Melayu menentang Malayan Union berjaya.Justeru, Malayan Union telah dibubarkan secara rasmi pada 31 Januari 1948 oleh British dan digantikan dengan Persekutuan Tanah Melayu.
Persekutuan Tanah Melayu telah dibentuk bagi menggantikan Kesatuan Malaya setelah beberapa siri perbincangan diadakan di antara Raja-raja Melayu dan lain-lain pihak yang terlibat. Persekutuan yang baru ini terdiri daripada kesemua sembilan Negeri-negeri Melayu di Semenanjung, bersama Melaka dan Pulau Pinang. Persekutuan Malaya berada di bawah pentadbiran sebuah kerajaan persekutuan di Kuala Lumpur yang diketuai oleh seorang Pesuruhjaya Tinggi British. Pembentukan perlembagaan Persekutuan 1948 merupakan desakan dan tentangan yang diketuai oleh UMNO yang menentang Malayan Union. Mereka berjuang mempertahankan hak peribumi Tanah Melayu. Idea British yang mahu mewujudkan negara kesatuan yang mempunyai status bangsa baru yang sama dalam unit politik Malaya terpaksa berkubur dengan penentangan yang menyeluruh terutama dari penduduk Tanah Melayu dan seterusnya membuka jalan juga kepada Perlembagaan Tanah Melayu 1957 sekaligus membawa Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 yang menjadi penamat penguasaan kolonial British.
Menurut Ruslan Zainuddin (2003) dalam buku Sejarah Malaysia ,zaman Darurat (1948-1960) merupakan satu titik hitam dalam sejarah Semenanjung Tanah Melayu kerana berlakunya peperangan terbuka antara pihak kerajaan dengan Parti Komunis Malaya yang turut melibatkan semua lapisan rakyat Tanah Melayu. Dalam tempoh sepanjang dua belas tahun tersebut, kerajaan Tanah Melayu telah mengatur pelbagai strategi dan langkah-langkah untuk menghapuskan pemberontakan bersenjata oleh komunis. Ramai perajurit-perajurit yang terkorban dalam menjaga keamanan negara walaupun nyawa mereka terkorban. Zaman Darurat telah diisytiharkan tamat secara rasminya oleh Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Julai 1960.
Zulhilmi Paidil (2003) dalam buku Kenegaraan Malaysia Dalam proses menuju ke arah kemerdekaan, usaha awal membentuk kerjasama antara kaum telah dibentuk. Jawatankuasa Hubungan antara Kaum (CLC) yang mempunyai ahli-ahli yang mewakili setiap kaum di Tanah Melayu. Sistem Ahli telah diwujudkan untuk ke arah pemerintahan sendiri. Parti Perikatan, UMNO dan MCA begitu kuat mendesak mengadakan pilihanraya kerana dibimbangi orang-orang Melayu mengalihkan sokongan mereka kepada parti berhaluan kiri seperti Partai Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Kesatuan Melayu Muda (KMM), Angkatan Pemuda Insaf (API), Angkatan Wanita Sedar (AWAS) dan Parti Komunis Malaya (PKM), dan Inggeris akhirnya tunduk menunaikan tuntutan dan tekanan mereka. Berikutan dengan itu pilihanraya pertama telah diadakan di dalam bulan Julai 1955 bagi mengisi 52 buah kerusi di dalam Federal Legislative Council yang baharu itu. Parti Perikatan telah memenangi 51 daripada 52 kerusi dan Tengku Abdul Rahman telah dilantik Ketua Menteri Persekutan. Rombongan kemerdekaan yang diketuai oleh Abdul Rahman akhirnya berjaya mendapatkan kemerdekaan setelah termeterai Perjanjian Merdeka pada 8 Februari 1956. Sekembali dari London, Tunku Abdul Rahman telah membuat Pengisytiharan Kemerdekaan di Padang Pahlawan, Bandar Hilir, Melaka pada 20 Februari 1956 dan disambut dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan oleh seluruh rakyat. Menurut Islamail Said (2008) dalam buku Dr. Burhanuddin Al-Helmi Pejuang Melayu Sejati,Suruhanjaya Bebas yang dipanggil Suruhanjaya Reid bagi mengubalkan Perlembagaan Persekutuan, dan bagi tujuan ini Suruhanjaya yang diketuai oleh Lord Reid seterusnya ditubuhkan.
Ruslan Zainuddin (20030 dalam buku Sejarah Malaysia menyatakan perjuangan membanteras dan menyekat pengaruh Parti Komunis di Sarawak, Sabah, Singapura dan Brunei Darussalam akhirnya membawa kepada cadangan penubuhan Malaysia oleh Tunku Abdul dalam satu ucapan beliau di Persidangan Persatuan Wartawan Luar Negeri Asia Tenggara yang diadakan di Hotel Adelphi, Singapura pada 27 Mei 1961. Suruhanjaya Cobbold dibentuk untuk meninjau pandangan penduduk negeri-negeri di Borneo Utara (Sabah) dan Sarawak tentang gagasan Malaysia dan mendapati majoriti penduduk Sabah dan Sarawak mahu menyertai Malaysia. Pada 16 September, maka terbentuklah Malaysia yang dianggotai Sabah, Sarawak, Singapura dan Persekutuan Tanah Melayu. Singapura kemudiannya keluar daripada Malaysia pada 9 Ogos 1965. Pembentukan Malaysia telah memberi impak yang positif kepada ketiga-tiga wilayah. Penggabungan ini akan memantapkan lagi kerjasama antara negeri dan bebas daripada pengaruh Parti Komunis yang cuba menguasai Asia Tenggara.
Menurut Zulhilmi Paidil (2005) dalam buku Pendidikan Negara Bangsa,peristiwa hitam 13 Mei merupakan peristiwa yang penting dalam sejarah negara dan bangsa Malaysia. Penyemaian semangat nasionalisme dalam rakyat Malaysia perlu bagi mengelakkan peristiwa 13 Mei 1969. Setiap rakyat perlu memahami prinsip-prinsip Rukun Negara yang telah dibentuk bagi memastikan perpaduan dan keamanan hidup dalam kepelbagaian kaum terjamin. Peristiwa 13 Mei 1969 berlaku akibat masalah perpaduan kaum yang timbul selepas Pilihanraya Umum 1969 . Semuanya akibat daripada salah faham antara kaum Melayu dan Cina. Peristiwa 13 Mei 1969 sememangnya memberi kesan yang negatif seperti kehilangan nyawa, kerosakan harta benda,ketenteraman awam terganggu dan ekonomi negara terganggu dan terjejas dengan pengisytiharan darurat yang membawa kepada penubuhan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) yang berperanan menggubal Rukun Negara. Rakyat Malaysia harus mengambil pengajaran agar peristiwa seperti ini tidak berlaku lagi.Perpaduan merupakan nadi pegerak kepada kemajuan negara. Perpecahan masyarakat akan membawa kerugian.
Menurut Ismail Samad (2009) dalam buku Pengajian Sosial 1, Dasar Ekonomi Baru telah diperkenalkan dalam Rancangan Malaysia Kedua (1971-1975). Pembangunan diarah untuk memenuhi tujuan pertambahan pengeluaran untuk eksport dan menggalakkan pemprosesan bahan tempatan dan penggalakkan penggantian import. Ketidakseimbagan pembangunan ekonomi antara wilayah yan berpunca daripada kesan penjajahan British yang fokus membangunkan negeri-negeri pantai barat Semenanjung Malaysia berbanding negeri pantai timur Semenanjung Malaysia. Pembangunan tidak seimbang ini telah menyebabkan masalah kemiskinan terutama di kawasan luar bandar. Masalah bertambah berat lagi apabila kemiskinan kaum peribumi lebih tinggi kadarnya berbanding dengan kaum imigran. Kerajaan telah menggariskan ketetapan dengan mewujudkan Dasar Ekonomi Baru bagi mengurang jurang beza taraf hidup antara kaum peribumi dengan kaum imigran. Hal ini penting kerana jurang beza taraf hidup antara boleh membawa kepada ketidakpuasanhatian oleh sesuatu kaum dan boleh membawa perpecahan. Namun begitu, kerajaan kita mengambil langkah bijak untuk menjaga perpaduan kaum yang pelbagai dan memastikan masyarakat mempunyai semangat nasionalisme yang tinggi.
Tak sampai 2 saat klik iklan di bawah... :)



Masyarakat Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum. Menurut Ruslan Zainuddin (2005) dalam buku Kenegaraan Malaysia, Perpaduan penting dalam bagi sesebuah negara yang mempunayi kepelbagaian sama ada dari segi ras tenik, bahasa, agama, kebudayaan dan pegangan seperti yang terdapat di Malaysia.Jadi bagaimanakah kita hendak melahirkan perpaduan Nasional dalam situasi sebegini? Bahasa Kebangsaan boleh menjadi asas segera dengan dibantu oleh jentera perundangan bagi menyatukan pelbagai bangsa dan masyarakat di Negara ini. Peranan bahasa kebangsaan dapat dan patut dilaksanakan bukan sahaja melalui saluran pendidikan, malah politik, pentadbiran dan undang-undang. Semua kaum hendaklah menghormat antara satu sama lain dalam membangunkan negara. Dengan adanya semangat nasionalisme juga dapat membentuk masyarakat yang tidak hanya mementingkan kepentingan sesuatu kaum sahaja. Kita dapat dapat mengambil iktibar daripada peristiwa 13 Mei 1969 yang membawa kerugian kepada kita sebagai bangsa Malaysia.
Oleh itu, nasionalisme mempunyai peranan yang penting dalam membentuk jati diri pelajar. Semangat nasionalisem hendaklah ditanam di dalam diri pelajar agar dapat memberi impak yang positif kepada diri, masyarakat dan negara. Tanpa semangat nasionalisme, negara kita akan musnah dan maruah tercalar. Dalams keadaan negara kita yang pesat membangun, semangat nasionalisme mestilah dibangun terlebih dahulu agar kita tidak menjual harga kemerdekaan negara dengan gejala-gejala sosial, jenayah-jenayah dan mengkhianati negara sendiri. Sebagai warga pasca merdeka, kita tanamkanlah semangat nasionalisme yang cintakan negara Malaysia. Malaysia boleh!
BIBLIOGRAFI
Kenegaraan Malaysia, Zulhilmi Paidi & Rohani Ab. Ghani
Malaysia Kita, Anggota Persatuan Penerbit Buku Malaysia
Konsep asas sosiologi. Ting chew peh
Asas sains sosial dari perspektif sosiologi, rohana yusof

Ulasan

  1. siapakah yanh dimaksudkan anak negeri yang sebenarnya dalan serangan je pun ???...bantu saye

    BalasPadam
  2. Encik/Cik/Puan/Tuan (Tanpa Nama)...sila bagi perenggan dan ayat mana yang Encik/Cik/Puan/Tuan rujuk dalam artikel kami ini? Dengan itu mudah kami perjelaskan. Terima kasih di atas kesudian Encik/Cik/Puan/Tuan membaca artikel kami.

    BalasPadam

Catat Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

7 elemen muzik

LATITUD DAN LONGITUD

LAGU FLY KENYALANG FLY, FLY HIGH