LAPORAN PROGRAM BINA INSAN GURU SEMESTER 5

                 Pada 25 Februari 2013, seramai 16 orang guru pelatih dari PISMP 1111 Pengajian Sosial semester 5 dan seorang pensyarah pembimbing telah bersama-sama melaksanakan program Bina Insan Guru di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Kuching. Program Bina Insan Guru pada kali ini adalah bertemakan ‘benchmarking’ atau penanda aras satu sekolah pilihan di mana kami dikehendaki untuk membuat peninjauan dan penilaian sekolah tersebut daripada aspek-aspek seperti infrastruktur, pengurusan pentadbiran, pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran dan amalan budaya sekolah.
Sesi bergambar bersama Timbalan Pengetua Hal Ehwal Pelajar   

             Kami sebulat suara bersetuju untuk membuat penanda aras di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Kuching pada 25 Februari 2013 .  Pada mulanya kami merancang untuk mengadakan lawatan penanda aras pada 21 Februari 2013 tetapi faktor pihak MRSM Kuching yang mempunyai aktiviti yang padat pada 21 Februari 2013 dan kami bersetuju untuk meminda tarikh tersebut kepada 25 Februari 2013. Perbincangan dengan pihak MRSM Kuching diatur terlebih dahulu bagi memastikan kelancaran majlis lawatan kami ke sekolah tersebut.
            Kami bertolak ke MRSM Kuching pada pukul 6.30 pagi menggunakan bas institut. Kami tiba di MRSM Kuching pada pukul 7.30 pagi dan disambut meriah oleh Timbalan Pengetua Hal Ehwal Pelajar , Encik Yusmizal bin Abu Yusuf. Kami dibawa ke Dewan Mesyuarat untuk majlis pengenalan dan sarapan yang telah disediakan oleh pihak MRSM Kuching. 
Perbincangan dan temu bual

            Pengetua MRSM tidak dapat bersama ketika lawatan tersebut kerana mempunyai tugasan di luar MRSM yang tidak dapat dielakan. Kami berkesempatan bertanya kepada guru-guru dan staf di MRSM tentang fokus utama kami ke MRSM Kuching. Agak berbeza dengan sekolah kerajaan, kami dimaklumkan bahawa MRSM Kuching merupakan sekolah swasta berasrama penuh. Kami juga dimaklumkan bahawa MRSM Kuching bukan di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia tetapi sebaliknya di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah. Disebabkan hal itu, sistem pentadbiran sekolah ini adalah berlainan dengan sekolah di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia.
Lawatan ke sekitar bilik guru
            Daripada pemerhatian kami, pihak pentadbiran mengamalkan sistem demokrasi dengan tidak menyekatkan suara pelajar dan menerima bantahan daripada pelajar jika kualiti tenaga pengajar tidak memuaskan mereka. Hal ini dijelaskan oleh Timbalan Pengetua MRSM Kuching mengenai jenis kepimpinan yang diamalkan oleh Pengetua MRSM Kuching. Pengetua akan memberi tunjuk ajar dan memberi panduan kepada orang-orang bawahannya. Dalam masa yang sama pengetua juga akan melibatkan diri dan memberi ruang kepada orang-orang bawahan dan pelajar  untuk menyatakan pendapat masing-masing.
            MRSM Kuching mempunyai organisasi pengurusan pentadbiran yang berbeza dengan sekolah di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia. Pada peringkat organisasi tertinggi di MRSM Kuching ialah Pengetua, diikuti tiga Timbalan Pengetua iaitu Timbalan Pengetua Hal Ehwal Pelajar, Timbalan Pengetua Hal Ehwal Akademik dan Timbalan Pengetua Kokurikulum. 
             Majlis penyerahan cenderamata kepada wakil Pengetua MRSM Kuching , Encik Yusmizal bin Abu Yusuf oleh Puan Hajah Adibah binti Ismail (pensyarah pengganti mentor) . Majlis penyerahan terpaksa diadakan terlebih awal kerana masa tidak mengizinkan dan kami tidak mempunyai masa yang mencukupi.
             Kami dibawa melawat persekitaran sekolah bagi memberi peluang kepada kami untuk mendapatkan maklumat yang diperlukan. Kami tidak berpecah mengikut kumpulan seperti yang dirancang sebelumnya kerana atas permintaan pihak MRSM Kuching kerana mereka hanya dapat mengarahkan dua orang guru untuk menjadi pemandu lawatan tersebut kepada kami. 
             Seperti kebanyakan sekolah-sekolah lain, MRSM Kuching mewujudkan suasana hijau di dalam MRSM tersebut bagi menambah keceriaan dan semangat belajar kepada pelajar. Amalan 5S (Sisih, Susun, Sapu, Seragam dan Sentiasa Amal) dan 5R . Budaya salam , senyum dan sapa juga menjadi budaya dan amalan di sini tidak mengira pelajar , staf akademik mahupun staf bukan akademik.
            Kami berpeluang memerhati proses pengajaran dan pembelajaran sambil memerhati infastruktur dan infostruktur yang lain.  Kemudahan-kemudahan asas dari segi infrastruktur yang terdapat di sekolah ini ialah seperti bilik guru, pusat sumber, kelas, tandas dan makmal sains, bilik komputer, asrama , dewan makan, dewan perhimpunan, koperasi, kantin, surau dan lain-lain lagi.  

            Kemudahan-kemudahan asas dari segi infostruktur pula ialah papan informasi, sudut-sudut matapelajaran, sudut berita terkini, papan pengumuman, mural dan papan maklumat pelajar. MRSM Kuching mempunyai kemudahan infastruktur dan infostruktur yang serba lengkap sesuai dengan status sekolah swasta yang cemerlang dalam pendidikan. MRSM Kuching mendapat peruntukan yang mencukupi daripada  Majlis Amanah Rakyat (MARA) untuk menjalankan aktiviti kurikulum dan kokurikulum. Walaupun pelajar di sini mempunyai prestasi yang tinggi dalam kurikulum, namun mereka tidak menyisihkan kokurikulum.

            Lawatan kami berakhir pada pukul 2.30 petang apabila hampir seluruh kawasan MRSM Kuching kami lawati.Secara keseluruhannya, semua pihak terutamanya pihak sekolah MRSM Kuching telah memberikan sokongan dan kerjasama yang begitu baik kepada kami dalam melaksanakan program Bina Insan Guru ini. Sememangnya lawatan kami pada semester ini tidak menghampakan dan ia juga telah banyak menambahkan ilmu pengetahuan sedia ada kami dan ia boleh dijadikan panduan kepada kami apabila mengajar di sekolah rendah kelak
.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

7 elemen muzik

LATITUD DAN LONGITUD

LAGU FLY KENYALANG FLY, FLY HIGH