Dasar Kebudayaan Kebangsaan

    Sesebuah negara yang mempunyai masyarakat majmuk seperti Malaysia tentu tidak akan dapat lari daripada menghadapi pelbagai masalah sosial dan perpaduan. Oleh sebab perpaduan amat penting dalam memupuk semangat nasionalisme dan kenegaraan, sudah tentulah negara-negara yang menghadapi masalah ini akan cuba mencari jalan untuk menyelesaikan sebarang keretakan dan konflik perkauman di negara masing-masing. Di Malaysia, masalah yang kerap diperkatakan berhubung dengan perpaduan ialah masalah polarisasi.    

     Walaupun negara kita telah mencapai kemerdekaan sejak tahun 1957, namun persoalan dan masalah pembentukan kebudayaan kebangsaan masih menjadi satu perkara yang ditinggalkan untuk dibincangkan oleh para pengkaji budaya. Perbahasan tentang Dasar Kebudayaan Kebangsaan sering diadakan, terutamanya di kalangan para ahli politik, badan-badan dan pertubuhan-pertubuhan tertentu yang ada hubungan dengan kebudayaan. Harapan negara untuk menyatupadukan masyarakat melalui kebudayaan kebangsaan adalah tidak mustahil asalkan rakyat Malaysia sanggup menerima kebudayaan kebangsaan sebagai kebudayaan setiap kaum di negara ini.

Latar belakang Dasar Kebudayaan Kebangsaan 

Pembentukan satu kebudayaan kebangsaan dapat memupuk perpaduan menerusi satu gaya hidup dan nilai-nilai yang dipersetujui dan dihayati bersama oleh semua kaum. Ia juga dapat mewujudkan satu identiti negara yang dapat dikenali oleh negara-negara luar. Oleh yang demikian, Kerajaan Malaysia telah menitikberatkan pembentukan secara beransur-ansur yang baik daripada berbagai-bagai kebudayaan yang terdapat di negara kita dengan berteraskan kebudayaan asli tempatan.

 
 

Prinsip Dasar Kebudayaan Kebangsaan 

        Terdapat tiga prinsip :

1.      Kebudayaan kebangsaan negara ini hendaklah berteraskan kebudayaan rakyat asal rantau ini.

        Menurut prinsip ini, kebudayaan kebangsaan Malaysia hendaklah berteraskan kebudayaan rakyat setempat rantau ini.

        "Rantau" membawa maksud alam Melayu, yakni warisan tradisi kebudayaan Kepulauan Melayu yang sebahagian besar suku bangsanya terdiri daripada orang Melayu, Bugis, Jawa, Iban, Minang, Murut, Kadazan dan lain-lain lagi.

        Merekalah yang dimaksudkan sebagai rakyat asal rantau ini. 

2.      Unsur-unsur kebudayaan lain yang sesuai dan wajar boleh diterima menjadi unsur-unsur kebudayaan kebangsaan.

        Prinsip ini memberi pengakuan bahawa unsur-unsur kebudayaan kaum lain yang sesuai dan wajar memanglah telah lama diamalkan.

        Masyarakat pribumi telah banyak menerima unsur-unsur ini sejak zaman-berzaman.

        Kemasukan unsur-unsur ini ke dalam kebudayaan tempatan kaum pribumi terjadi melalui pelbagai proses seperti asimilasi, difusi, evolusi dan akulturasi.

        Sebagai contoh, proses asimilasi wujud hasil daripada kekerapan perhubungan dan pertembungan di antara kebudayaan dan bahasa dari negera China, India dan Eropah. Begitu juga terdapat pengaruh bahasa Sanskrit, Portugis, China, Inggeris dan lain-lain dalam bahasa Melayu. Tempatan. 

3.      Islam merupakan unsur yang penting di dalam pembentukan kebudayaan kebangsaan itu.

        Meletakkan Islam sebagai unsur penting dalam kebudayaan kebangsaan memang kena pada tempatnya.

        Ini kerana Islam merupakan agama Persekutuan yang telah lama tersurat dan diterima oleh Perlembagaan.

        Justeru, pelaksanaan prinsip pertama dan kedua dalam pembentukan kebudayaan kebangsaan perlulah disesuaikan dengan agama Islam.

        Segala unsur budaya yang mewarisi pelbagai warisan budaya rakyat tidaklah menjadi status kebudayaan kebangsann secara automatis.

        Ia haruslah terlebih dahulu disesuaikan dengan ciri-ciri atau nilai universal Islam.

        Selaras dengan kehendak kebudayaan kebangsaanlah, kerajaan telah berusaha untuk menerapkan nilai-nilai Islam. 

 
 

Tujuan Kebudayaan Kebangsaan  

1.      Perpaduan Negara

        Tujuan ini dapat dilihat dari aspek keseluruhan penduduk yang berbilang kaum dan keturunan di negara ini.

        Masyarakat majmuk Malaysia perlu dipupuk dengan nilai-nilai yang dapt dikongsi bersama.

        Nilai-nilai budaya yang suci ini akan membawa kepada titik-titik persamaan dalam kehidupan masyarakat.

 
 

2.      Membentuk keperibadian atau identiti Malaysia.

        Tujuan ini sangat wajar kerana setelah lebih 45 tahun merdeka, masyarakat Malaysia masih belum mempunyai satu identiti kukuh.

        Semangat sayangkan bangsa, tanahair dan sebagainya masih kabur.

        Sikap dan imej penduduk Malaysia haruslah dapat dikenalkan di kalangan antarabangsa. 

3.      Meningkatkan kualiti kehidupan kemanusiaan dan kerohanian yang seimbang dengan pembangunan sosioekonomi dan politik.

        Jika dua tujuan di atas tercapai, barulah kualiti kehidupan boleh meningkat.

        Peningkatan kehidupan bermaksud, setiap kaum sudah hilang perasaan prejudis.

        Keadaan ini memberi peluang kepada setiap kaum di Malaysia mengecapi pembangunan sosioekonomi dan politik yang seimbang.

 
 

Kesimpulan 

Kebudayaan kebangsaan adalah budaya yang sama bagi masyarakat seperti undang-undang, kesenian, falsafah, nilai sosiobudaya dan sebagainya. Kebudayaan sukuan atau kaum pula adalah apa yang dijamin oleh Perlembagaan dan Rukunegara sebagai yang boleh diamalkan oleh pelbagai suku atau kaum ini boleh diserapkan ke dalam kebudayaan kebangsaan sekiranya ia tidak bertentangan dengan tiga tujuan dasar kebudayaan kebangsaan. 

Ulasan

Catat Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

7 elemen muzik

LATITUD DAN LONGITUD

LAGU FLY KENYALANG FLY, FLY HIGH