Peranan Wang Dalam Ekonomi

Nota

1.      Pengenalan 

Pada kali ini kita akan membincangkan pula tentang 'Institusi Kewangan'. Di bawah tajuk ini ada beberapa perkara yang akan di terangkan iaitu: 

a.      fungsi dan bentuk operasi bank perdagangan.

b.      fungsi utama institusi kewangan lain.

c.      contoh institusi kewangan di Malaysia.  

2.      Bank perdagangan 

Bank perdagangan adalah institusi kewangan milik swasta dan matlamat utamanya adalah untuk mendapatkan untung. Bilangan bank perdagangan pada asalnya adalah banyak, tetapi mulai tahun 1999, bilangannya telah mula dikurangkan melalui proses penggabungan antara bank. Ia bertujuan untuk menambahkan jumlah modal bank perdagangan tempatan bagi menghadapi masalah kemelesetan ekonomi yang melanda dunia pada ketika ini.  

Namun begitu, peranannya amat penting dalam ekonomi sebuah negara. Aktivitinya mempunyai pengaruh yang sangat besar terhadap perubahan bekalan wang dalam ekonomi. Aktiviti utama bank perdagangan adalah menerima deposit dan memberi pinjaman serta membuat pelaburan. 

2.1
Fungsi dan bentuk operasi bank perdagangan 

Secara umumnya fungsi utama bank perdagangan ialah: 

a.      menerima deposit.

b.      memberi pinjaman dan pendahuluan kepada pelanggan.

c.      membuat dan menerima bayaran untuk pelanggan.

d.      menjalankan aktiviti pelaburan.

e.      menyediakan perkhidmatan lain. 

2.1.1       Menerima deposit 

Bank perdagangan menerima deposit daripada orang ramai dalam bentuk deposit semasa, deposit tabungan dan deposit tetap. 

i. Deposit semasa 

Deposit semasa merupakan satu bentuk simpanan wang oleh orang ramai yang membenarkannya untuk memindahkan atau mengeluarkan deposit dengan menggunakan cek. Penyimpan wang dalam deposit semasa tidak dibayar faedah oleh bank tetapi dikenakan bayaran perkhidmatan kepada pihak bank. Cara pembayaran dengan menggunakan cek merupakan aktiviti utama dalam dunia perniagaan masa kini. 

ii. Deposit tabungan 

Deposit tabungan merupakan cara menyimpan wang ke dalam bank yang boleh dikeluarkan pada bila-bila masa. Pelanggan deposit tabungan akan dibayar faedah tetapi kadarnya adalah lebih rendah dari deposit tetap. Pelanggan juga tidak boleh membuat pembayaran atau pindah milik dengan menggunakan cek.  

iii. Deposit tetap 

Deposit tetap adalah simpanan wang orang ramai di bank perdagangan dalam suatu tempoh masa tertentu contohnya 1 bulan, 3 bulan, 6 bulan dan sebagainya. Pelanggan deposit tetap akan dibayar faedah di mana kadar faedahnya lebih tinggi daripada deposit tabungan. Deposit tetap tidak boleh dikeluarkan oleh pelanggan sebelum sampai tempoh matang. Bayaran akan dikenakan kepada penyimpan yang mengeluarkan simpanan sebelum tempoh matangnya. Deposit tetap juga tidak membenarkan penyimpan membuat pindah milik daripada individu kepada individu yang lain melalui cek. 

2.1.2       Memberi pinjaman dan pendahuluan kepada pelanggan 

Aktiviti memberikan pinjaman dan pendahuluan merupakan aktiviti bank perdagangan yang paling utama. Ia juga merupakan aktiviti bank yang paling menguntungkan. Secara umumnya bentuk pinjaman yang diberikan oleh bank perdagangan kepada pelanggannya adalah melalui tiga cara utama, iaitu: 

i. pinjaman melalui akaun semasa 

Pinjaman ini diberikan kepada peminjam yang layak dengan mengkreditkan sejumlah pinjaman ke dalam akaun semasa pelanggan tersebut. Peminjam akan dikenakan bayaran faedah yang tinggi ke atas jumlah pinjaman yang telah diluluskan.  

ii. kemudahan overdraf 

Bank perdagangan juga memberikan pinjaman kepada pelanggan deposit semasa dengan membenarkannya mengeluarkan wang melebihi dari baki dalam akaun semasanya. Jumlah wang yang boleh dikeluarkan adalah berdasarkan jumlah wang yang diluluskan oleh pihak bank. Satu kebaikan overdraf ialah peminjam tidak perlu membayar faedah sepenuhnya atas pinjaman yang diluluskan. Kadar faedah hanya dikenakan ke atas jumlah overdraf yang telah dikeluarkan sahaja.  

iii. mendiskaunkan bil pertukaran 

Bank perdagangan juga memberikan pinjaman jangka pendek kepada pelanggannya. Pinjaman ini diberikan dengan mendiskaunkan bil-bil pertukaran yang dimiliki oleh pelanggan. Bank perdagangan akan memberikan pendahuluan kepada pelanggannya dan mendapat komisen daripada bil pertukaran yang didiskaunkan. Bank akan menuntut bayaran dari pihak yang mengeluarkan bil-bil pertukaran apabila sampai tempoh matangnya.  

2.1.3       Membuat dan menerima bayaran untuk penyimpan 

Bank perdagangan akan membuat pembayaran bagi pihak pelanggan akaun semasa dengan membayar sejumlah wang tunai seperti yang tercatat pada cek, apabila pemegang cek mengemukakan cek kepada bank. Selain dari itu bank juga menerima bayaran bagi pihak pelanggannya dengan menjelaskan cek yang dimasukkan ke dalam akaun semasa pelanggan tersebut dalam bank.  

2.1.4       Menjalankan aktiviti pelaburan 

Bank perdagangan juga turut memperolehi keuntungan dengan melakukan pelaburan dengan membeli bil-bil perbendaharaan dan sekuriti kerajaan Malaysia. 

2.1.5       Perkhidmatan-perkhidmatan lain 

i. membeli dan menjual mata wang asing  

Bank perdagangan akan menjual mata wang asing kepada pengimport yang perlu membayar mata wang asing kepada pembekalnya di luar negara. Selain dari itu bank perdagangan juga membeli mata wang asing yang diterima oleh pelabur untuk ditukarkan kepada mata wang tempatan bagi tujuan perbelanjaan dalam negara berkenaan.  

ii. menjual draf bank 

Bank perdagangan juga menjual draf bank kepada orang ramai yang ingin membuat pembayaran kepada pihak–pihak yang berkenaan  

iii. menjual cek pengembaraan 

Bank perdagangan ada menjual cek pengembaraan kepada mereka yang ingin melancong ke luar negara. 

iv. peti simpanan selamat 

Bank perdagangan juga ada menyediakan kemudahan menyewa peti simpanan keselamatan untuk menyimpan barang berharga dan maklumat-maklumat penting.  

3.      Fungsi utama institusi kewangan yang lain 

3.1
Bank saudagar 

i. Bank saudagar hanya memberikan perkhidmatan kewangan kepada sektor korporat.  

ii. Bank saudagar hanya menerima deposit secara besar-besaran dari pelanggannya yang terdiri daripada bank perdagangan, syarikat kewangan, syarikat berhad, syarikat korporat dan sebagainya.  

iii. Selain dari itu, bank saudagar juga memberi pinjaman bersindiket iaitu pinjaman secara beramai-ramai dari beberapa buah bank dan institusi kewangan lain kepada syarikat – syarikat perniagaan yang besar untuk membiayai projeknya.  

iv. Bank saudagar juga menggerakkan dana penyimpan besar melalui pelaburan dalam saham dan menanggung jamin terbitan saham baru kepada syarikat berhad yang ingin membesarkan perniagaan mereka.  

v. Contoh bank saudagar ialah Arab-Malaysian Development Bank Bhd dan Malaysian International Merchant Bankers Bhd. 

3.2
Bank Islam 

i. Kegiatan utama Bank Islam hampir sama dengan bank perdagangan lain kecuali kegiatannya berlandaskan kepada prinsip dan hukum syariah. 

ii. Fungsi utamanya ialah menerima deposit dan memberi pinjaman tanpa riba dan memastikan wujudnya penyatuan pembangunan ekonomi dan pembangunan sosial melalui pungutan zakat. 

iii. Bank Islam menerima deposit dari orang ramai mengikut prinsip Al-Wadiah. Bank bertndak sebagai pemegang amanah untuk menjaga deposit tunai penyimpan dan pihak bank akan membayar dividen kepada penyimpan apabila bank mendapat keuntungan. 

iv. Bank Islam juga memberi pinjaman mengikut prinsip Al-Murabahah dan Al- Musyarakah.  

v. Selain dari itu bank juga menyediakan kemudahan sewa beli mengikut prinsip Al– Takjiri. 

vi. Akhir sekali, bank juga turut menyediakan perkhidmatan jaminan hutang mengikut prinsip Al-Kafalah. 

3.3
Syarikat kewangan 

i. Ia merupakan syarikat milik swasta dan bertujuan mencari keuntungan yang maksimum. 

ii. Fungsi utama syarikat kewangan ialah:

-          menerima deposit tetap dan deposit tabungan.

-          memberi pinjaman kepada orang ramai.

-          membiayai sewa beli kenderaan.

-          membiayai kad kredit.

-          memberi perkhidmatan peti simpanan keselamatan. 

3.4
Syarikat insuran 

i. Syarikat insuran merupakan syarikat yang memberikan perkhidmatan perlindungan kepada pemegang polisi daripada mengalami kerugian harta benda, pendapatan atau nyawa. 

ii. Fungsi utama syarikat insuran ialah:

-          memberi perlindungan nyawa dan harta benda.

-          menggerakkan tabungan dari orang ramai dengan menyediakan pelbagai jenis insuran.

-          menyalurkan tabungan untuk pelaburan dan melabur dalam sekuriti korporat.

-          memberi pinjaman kepada pemegang polisi terutama insuran nyawa.
     Jumlah pinjaman yang diberi bergantung kepada nilai tunai yang terdapat dalam polisi.

Latihan

1.

Terangkan secara ringkas fungsi utama bank perdagangan.

[6]

2.

Apakah perbezaan antara rizab mudah tunai minimum dengan rizab berkanun?


[6]

3.

Terangkan jenis-jenis institusi kewangan yang terdapat di Malaysia.

[10]

4.

Mengapakah BSN di Malaysia lebih merupakan syarikat kewangan dan tidak boleh digolongkan sebagai bank perdagangan?

 
 

5.

Terangkan fungsi utama Bank Islam di Malaysia.

 
 

Jawapan

1.

Fungsi utama bank perdagangan;

   

-

menerima deposit

   

-

memberikan pinjaman

   

-

membuat dan menerima bayaran

   

-

menyediakan perkhidmatan lain (Pilih mana-mana tiga dan huraikan)

2.

Definisi rizab mudah tunai minimum

   

-

rizab yang perlu disimpan dalam bank sendiri untuk memenuhi peraturan bank pusat dan menjamin simpanan yang diterima dari pelanggan.

Komponennya:
simpanan di bank pusat, pegangan surat jaminan kerajaan, wang tunai di bank, dsb.

   

Definisi rizab berkanun

   

-

simpanan wajib wang tunai di bank pusat.

3.

Institusi kewangan di Malaysia

   

-

bank pusat, bank perdagangan, syarikat kewangan, syarikat insuran, Bank Islam, dsb.

   

-

nyatakan ciri umumnya dan fungsi utama secara ringkas

4.

BSN tidak boleh digolongkan sebagai bank perdagangan kerana tiada deposit semasa.

5.

Fungsi Bank Islam

   

-

Menerima deposit mengikut prinsip Al–Wadiah

   

-

Memberi pinjaman mengikut prinsip Al–Murabahah

   

-

Memajak harta atau barang mengikut prinsip Al–Ijarah

   

-

Memberikan kemudahan sewa beli mengikut prinsip Al–Takjiri

   

-

Memberi jaminan hutang mengikut prinsip Al–Kafalah

   

   

(Pilih mana-mana 4 dan huraikan dengan ringkas)

Tip 

Mengetahui fungsi setiap institusi kewangan dan boleh membezakan setiap fungsi institusi kewangan tersebut.

Sumber rujukan :

http://www.tutor.com.my/tutor/arkib2002.asp?e=STPM&s=EKO&b=APR&m=2&t=&r=g&i=PNP


 

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

7 elemen muzik

LATITUD DAN LONGITUD

LAGU FLY KENYALANG FLY, FLY HIGH