Polisi animasi perlu jelas

SEMUANYA bermula pada 1983 apabila industri animasi tempatan mencatatkan sejarah menerusi penayangan filem animasi pendek pertama bertajuk ‘Hikayat Sang Kancil’ di stesen Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Filem pendek garapan Anandam Xavier itu menjadi titik permulaan meneroka bidang yang sejak sekian lama menjana keuntungan besar kepada industri filem luar negara seperti Jepun dan Amerika Syarikat (AS).

Antara 1984 dan 1987, beberapa lagi filem animasi pendek dihasilkan atas sokongan Filem Negara seperti Sang Kancil dan Monyet, Sang Kancil dan Buaya, Gagak Yang Bijak, Arnab Yang Sombong dan lain-lain.
Lebih 10 tahun selepas itu, filem animasi cereka pertama bersandarkan kisah legenda kepahlawanan Hang Tuah pula diterbitkan iaitu filem Silat Lagenda yang diarahkan oleh Hassan Abd Muthalib.


Bagaimanapun, kejayaan paling membanggakan sudah pasti dicetuskan sekumpulan anak muda lulusan Universiti Multimedia Malaysia (MMU) yang bernaung di bawah syarikat Les Copaque Production menerusi filem animasi paling berjaya di pasaran setakat ini, Geng: Pengembaraan Bermula.

Terbaru, animasi Boboiboy yang dihasilkan Animosta Studios sudah melepasi tayangan di saluran Disney di beberapa negara di samping siri Saladin berjaya menembusi pasaran Timur Tengah.

Kejayaan terbabit mendorong banyak syarikat mencuba nasib dalam bidang animasi dengan menubuhkan syarikat ditambah pula tawaran geran yang disediakan melalui agensi kerajaan atau swasta.

Tawaran yang disediakan cukup untuk melengkapkan syarikat pemula yang beroperasi sekitar dua atau tiga individu saja.

Naib Presiden Multimedia Development Corporation (MDeC), Kamil Othman, mengulas mengenai kualiti kandungan kreatif seperti animasi yang sepatutnya mampu mempamerkan keupayaan negara di mata dunia.

“Saya berpendapat, siapa yang mampu mengawal kandungan kreatif mereka mampu mengawal destinasi negara pada masa depan.

“Bayangkan, siapa yang menonjolkan kepada masyarakat keadaan dunia menurut perspektif mereka? Hollywood,” katanya.

Menurutnya, Hollywood memainkan peranan dengan memberi gambaran dan menempatkan persepsi mengenai dunia dengan menghasilkan kandungan kreatif yang meninggalkan kesan mendalam kepada masyarakat.

“Hollywood adalah kilang kandungan terbesar di dunia dan dituruti Bollywood (India) dan mereka menceritakan mengenai kekuatan negara menerusi kandungan dihasilkan.

“Anda boleh lihat sendiri, AS kalah dalam peperangan di Vietnam tapi penghasilan kandungan dipertontonkan kepada masyarakat menggambarkan seolah-olah mereka memena�ngi perang terbabit,” kata Kamil.

Potensi industri animasi bukan hanya sekadar penerbitan siri televisyen atau filem cereka, malah ia kini turut berkembang kepada segmen lain dalam industri berkenaan seperti ‘anime’ dan ‘manga’.

Kamil berkata, industri animasi di Malaysia boleh dibangunkan menjadi pasaran bernilai jutaan ringgit dengan sokongan kerajaan dan strategi pemasaran terancang.

“MDeC sentiasa menyokong perkembangan industri isi kandungan kreatif tempatan.

“Kami percaya industri ‘manga’ tempatan perlu diberi pendedahan sewajarnya dan dieksport malah terdapat peluang yang besar di luar sana untuk industri ini tetapi setakat ini ia tidak digunakan sepenuhnya oleh penggiat industri berkenaan,” katanya.

Beliau menegaskan, penggiat kandungan kreatif terbabit perlu mempelajari bagaimana memasarkan produk mereka ke peringkat antarabangsa selain perlu mempunyai wawasan untuk memastikannya tidak hanya terhad ke pasaran tempatan.

“Seterusnya, kita perlu mempunyai rancangan kukuh di peringkat nasional untuk memastikan ia boleh dipasarkan mengikut acuan negara ini,” katanya.

Beliau memberi contoh pelan utama Korea Selatan pada 2001 yang mahu memaparkan budaya negara itu kepada ma�syarakat dunia hanya melalui kandungan kreatif.

“Agensi ditubuhkan bagi menepati hasrat terbabit ialah Agensi Kebudayaan dan Kandungan Korea yang mahukan setiap kandungan Korea turut membawa produk mereka bersama. Inisiatif terbabit berjaya membawa teknologi Korea seperti Samsung, LG, Hyundai dan sebagainya ke mata dunia,” katanya.

Pengusaha industri kandungan kreatif di negara ini perlu berani untuk meneroka pelbagai aspek dalam pasaran terutama membabitkan maklumat dan idea baru jika mahu bersaing dalam arena global industri berkenaan.

Kamil pernah mengemukakan kertas konsep kepada Ketua Setiausaha Negara (KSN) mengenai cadangan penubuhan Perbadanan Pembangunan Industri Kreatif (CIDC).

Beliau berkata, cadangan itu adalah untuk memperkasa pembangunan industri kandungan multimedia kreatif di negara ini yang mempunyai peranan hampir sama dengan Agensi Kebudayaan dan Kandungan Korea termasuk menyelia Dasar Kandungan Kebangsaan dan bertindak sebagai laluan masuk kepada pasaran dunia.

“Ada persepsi mendakwa industri kreatif berasaskan hiburan semata-mata walhal ia membabitkan penggunaan teknologi digital dalam industrinya,” katanya.

Syarikat produksi tempatan, khususnya yang terbabit dalam pengeluaran filem dan siri televisyen, harus memberi fokus kepada usaha menghasilkan filem yang mengandungi lebih kandungan tempatan, bagi menembusi pasaran eksport.

Pembangunan kandungan tempatan yang kreatif boleh menarik penonton luar negara membeli produksi tempatan.

Kamil memaklumkan, orang luar mempunyai minat tinggi untuk mendapatkan produk tempatan khususnya filem atau program yang ada kandungan tempatan yang tinggi.

Katanya, kerjasama strategik penyedia kandungan tempatan dengan syarikat luar negara dapat membuka jalan kepada rakyat tempatan memahami pasaran global dengan lebih baik dan pada masa sama, membuka peluang pekerjaan kepada tenaga tempatan.

MDeC sebagai penggalak kepada pembangunan multimedia akan terus memberi tumpuan kepada usaha membangunkan kandungan tempatan dan mengatasi halangan kreativiti.

Buat masa sekarang tiada polisi yang jelas dan berbentuk jangka panjang menyebabkan perkembangan industri kreatif Malaysia tidak serancak negara maju lain seperti Amerika Syarikat, Jepun dan yang terbaru, Korea Selatan, yang mengeksport industri budayanya menerusi industri terbabit.

Wujudnya satu polisi khusus yang digubal untuk industri kreatif berkenaan membuka langkah bersepadu yang dapat digembleng, terutamanya menjadikan industri berkenaan penjana pendapatan kepada negara dan juga mencipta lebih banyak peluang pekerjaan.

“Dengan adanya satu polisi khusus dan penubuhan satu suruhanjaya khas untuk industri berkenaan, maka ia akan dapat memberikan tumpuan lebih khusus kepada industri kreatif, terutamanya pembangunan sumber manusia, penerokaan pasaran antarabangsa, prasarana, penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta perkhidmatan,” kata Kamil.

Di samping itu, rangsangan harta intelek (IP) penting kepada perkembangan industri budaya tempatan kerana ia mampu melindungi, sekali gus menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia yang kreatif untuk terbabit dalam pembangunan industri berkenaan.

Pembangunan industri IP amat penting untuk dimiliki pencipta agar hasil kreativiti tidak dapat dicuri dengan mudah oleh pihak lain.

Malah, pembangunan IP mampu memberi pulangan besar seperti yang disaksikan menerusi Upin & Ipin apabila mendapat keuntungan apabila membangunkan produk lain berasaskan animasi mereka seperti patung permainan dan sebagainya.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

7 elemen muzik

LATITUD DAN LONGITUD

LAGU FLY KENYALANG FLY, FLY HIGH