Sejarah sistem pendidikan Perak

Pada mulanya, sistem pendidikan yang terdapat di Tanah Melayu hanyalah berdasarkan pengajian berkaitan agama Islam. Oleh sebab itu, telah wujudnya sekolah pondok yang membolehkan masyarakat dahulu mempelajari ilmu agama dengan lebih mendalam.
Bagaimanapun, terdapat kelemahan dalam sistem sekolah pondok ini kerana ia tidak dapat melahirkan golongan Islam yang moden disebabkan tiada penekanan terhadap pelajaran lain selain daripada pelajaran agama Islam.
Sekolah Melayu telah mula ditubuhkan pada sekitar 1800-an dengan tujuan utama untuk membasmi buta huruf dalam kalangan kanak-kanak Melayu seramai yang mungkin.
Justeru, tiada had umur minimum kanak-kanak yang belajar di sekolah Melayu di Perak pada ketika itu. Secara purata umur kanak-kanak ke sekolah di Perak pada tahun 1890 ialah 9.2 tahun dan tiada yang di bawah umur 6 tahun. Namun demikian, ada yang berumur 18 tahun.
Pada lazimnya, di Perak, sekolah Melayu ditubuhkan apabila ada permintaan daripada penghulu mukim atau ketua kampung supaya sekolah Melayu diwujudkan. Biasanya sekolah-sekolah tersebut diwujudkan dengan syarat tidak kurang daripada 20 orang murid.

Tak sampai 2 saat klik iklan di bawah... :)



Pada zaman awal pemerintahan Inggeris pula penubuhan sekolah Melayu bertujuan memberikan pelajaran kepada anak-anak Melayu menerusi bahasa ibunda mereka.
Pada ketika itu, anak-anak Melayu perlu menerima pelajaran demi mencari nafkah sebagai nelayan, petani, penoreh getah, pekedai, dan yang berkaitan dengan pekerjaan kampung.
Untuk mencapai tujuan ini, mata pelajaran yang diajarkan dihadkan kepada sistem 3M, iaitu membaca, menulis dan mengira, termasuk ilmu asas, dan karangan.
Perkembangan sekolah Melayu mencatat sejarah penting pada 1916 melalui laporan seorang pegawai pentadbir Malaya, R.O. Winstedt yang menjadi satu titik pemisahan antara zaman permulaan sekolah Melayu dengan zaman awal pemerintahan Inggeris.
Beliau mengesyorkan untuk menubuhkan sebuah maktab perguruan tunggal bagi semua guru pelatih di Tanah Melayu dan merangka satu polisi mewujudkan satu sistem pelajaran yang baik bagi Sekolah Rendah Melayu, iaitu kurikulum yang berhubung rapat dengan alam keliling kanak-kanak Melayu.
Setelah kedatangan penjajah iaitu Inggeris, sekolah vernakular ditubuhkan di Tanah Melayu.
Sekolah vernakular merupakan sekolah yang menggunakan bahasa ibunda untuk melaksanakan urusan pengajaran dan pembelajaran mereka.
Terdapat tiga jenis sekolah vernakular iaitu sekolah Melayu, sekolah Tamil dan Sekolah Cina. Sekolah Melayu menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Bagi sekolah Tamil dan sekolah Cina, bahasa Tamil dan bahasa Cina digunakan sebagai bahasa pengantar.
Guru-guru sekolah Melayu terdiri daripada orang Melayu sendiri manakala bagi sekolah Cina dan Tamil, guru-guru dan buku teks diimport dari China dan India.
Oleh sebab kekurangan guru-guru Melayu, Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI) ditubuhkan di Tanjung Malim pada tahun 1922.
Sekolah vernakular Cina ditubuhkan pada tahun 1815 oleh kumpulan pendakwah baru Persatuan Mubaligh London dan oleh orang perseorangan. Contoh sekolah vernakular di Perak ialah SJK (C) Hua Lian, Tanjung, Perak.
Sekolah Tamil yang pertama di Perak ditubuh pada 1900 iaitu Sekolah Tamil Simpang Lima, berhampiran Parit Buntar.
Sementara Sekolah Matang Gelugor, di Matang pula menjadi sekolah Melayu pertama didirikan di negeri Perak pada 1826.
Sekolah Inggeris kerajaan juga telah ditubuhkan di negeri Perak. Sekolah Inggeris kerajaan pertama di Perak adalah Government Central School.
Pada tahun 1901, namanya ditukar kepada Sekolah King Edward VII. Sekolah Menengah King Edward VII, merupakan sekolah perdana dan antara sekolah lelaki tertua di Malaysia.
Central School atau Sekolah Pusat ditubuh pada Julai 1883 berpunca daripada perkembangan pesat perlombongan bijih timah terutama di Kamunting.
Guru Besar kedua Sekolah Pusat, R.F. Stainer mencadangkan nama sekolah itu ditukar kepada Sekolah King Edward VII bersempena dengan pertabalan King Edward VII yang menaiki takhta England pada 1901 selepas kemangkatan Queen Victoria.
Sekolah Inggeris juga telah ditubuhkan di Kuala Kangsar pada tahun 1905 iaitu Kolej Melayu Kuala Kangsar ( MCKK), atas cadangan R.J. Wilkinson, pegawai pendidikan jajahan pada masa itu yang disokong sepenuhnya oleh Sultan Perak, Sultan Idris Murshidul Azam Shah I (1886-1916).
Pada awalnya penubuhan sekolah ini adalah untuk mendidik dan melatih golongan elit Melayu, yang terdiri daripada kerabat diraja.
Bagaimanapun, selepas kebangkitan nasionalisme orang Melayu pada sekitar tahun 1947, syarat kemasukan ke sekolah ini dilonggarkan dan semakin ramai anak orang kebanyakan dapat peluang menuntut di MCKK.
Pengetua Melayu pertama MCKK ialah Abdul Aziz Ismail yang dilantik sempena ulang tahun ke-60 kolej itu. Sebelum beliau, jawatan disandang oleh pengetua dari Britain sehingga tahun 1965.
Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Clifford terletak di Kuala Kangsar, Perak dan antara yang tertua di Malaysia. SMK Clifford, Kuala Kangsar ini berasal daripada sekolah Melayu yang didirikan pada bulan Disember 1897.
Sehingga tahun 1905, sekolah ini mencatatkan rekod menjadi sekolah campuran yang pertama di Perak mempunyai pelajar perempuan.
Pada tahun 1928, sekolah ini mendapat namanya yang baru dikenali sebagai 'Sekolah Clifford' mengambil nama Gabenor Negeri Selat dan Pesuruhjaya Tinggi Malaya ketika itu, Sir Hugh Clifford.
Ketika perang Dunia II, sekolah ini bertukar status menjadi markas tentera Jepun sehingga tahun 1946.
Sekolah Cliford mula menawarkan mata pelajaran sains pada tahun 1946 dan dalam tahun-tahun 1940-an menunjukkan prestasi yang cukup baik dalam aspek peperiksaan.
Senior Cambridge juga menyaksikan ramai lepasannya berpeluang belajar di institusi pengajian tinggi seperti Kolej Perubatan Raffles Singapura, Kolej Pertanian Serdang dan universiti luar negeri khususnya di Britain.
Pada usia meningkat 100 tahun, sesungguhnya Sekolah Clifford amat bertuah kerana dipilih menjadi salah sebuah perintis Sekolah Bestari.
Sekolah agama juga telah diwujudkan di Negeri Perak. Pada April 1922, bersamaan 1340 Hijrah, telah terbinanya sekolah agama yang pertama di Perak iaitu Madrasah Idrisiah. Ia dibina pada zaman pemerintahan Almarhum Sultan Iskandar Qaddassallah Shah. Nama Idrisiah ini ada hubung kait dengan nama Almarhum Sultan idris Murshidul 'Adzam Shah.
Dengan adanya sekolah agama ini, fungsi sekolah pondok dapat digantikan serta dapat menghasilkan golongan Islam yang mampu bersaing kerana terdapatnya kemudahan pembelajaran yang tidak terdapat di sekolah pondok.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

7 elemen muzik

LATITUD DAN LONGITUD

LAGU FLY KENYALANG FLY, FLY HIGH